Perjanjian gas EU, Mesir, Israel akhiri kebergantungan terhadap Russia


Presiden Suruhanjaya EU Ursula von der Leyen bergambar bersama Presiden Mesir Abdel Fattah al-Sisi ketika lawatannya ke Kaherah. – Gambar EPA, 16 Jun, 2022.

ISRAEL dan Mesir bercadang meningkatkan eksport gas ke Eropah di bawah perjanjian ditandatangani ketika lawatan Presiden Suruhanjaya Kesatuan Eropah (EU) Ursula von der Leyen ke Kaherah semalam.

Keputusan berkenaan diambil ketika blok itu berusaha membebaskan diri daripada kebergantungan terhadap gas Russia.

Von der Leyen juga menjanjikan bantuan 100 juta euro untuk keselamatan makanan di Mesir, yang mengalami masalah kekurangan bijirin akibat perang Ukraine.

“Perang Russia-Ukraine mendedahkan kebergantungan Eropah kepada bahan api fosil Russia dan kami mahu menamatkan kebergantungan ini,” katanya pada sidang media bersama Presiden Mesir Abdel Fattah al-Sisi.

Beliau juga berjanji ketika lawatan ke Israel, untuk berdepan dengan Russia yang mengugut negara Eropah ekoran penggunaan bahan api fosilnya.

Kementerian Petroleum Mesir memaklumkan memorandum persefahaman (MoU) mengenai eksport gas antara Mesir, Israel dan EU ditandatangani di Forum Gas Mediterranean Timur.

Di bawah perjanjian bernilai AS$15 bilion pada 2020, Israel mengeksport gas dari medan luar pesisir ke Mesir, yang mana ia kemudian dicairkan dan dihantar ke negara Eropah.

Namun peningkatan ketara dalam eksport gas dari Israel melalui Mesir akan memerlukan pelaburan infrastruktur jangka panjang yang besar.

Von der Leyen berkata Mesir mempunyai kuasa matahari dan angin serta memiliki tenaga masa depan yang banyak serta usaha EU dan Mesir untuk menerokanya adalah demi kepentingan bersama.

Von der Leyen berjanji meluluskan serta-merta 100 juta euro bagi menyokong keselamatan makanan di Mesir, negara paling ramai penduduk di dunia Arab, yang bergantung kepada Russia dan Ukraine untuk lebih 80% gandumnya. – AFP, 16 Jun, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen