PRESIDEN Amerika Syarikat (AS) Joe Biden mengumumkan pakej baharu senjata dan peluru untuk Ukraine selepas bercakap dengan Presiden Volodymyr Zelensky dan mengesahkan sokongan Washington untuk Kyiv dalam memerangi pencerobohan Russia.
Pakej senjata bernilai AS$1 bilion (RM4.4 bilion) termasuk lebih banyak artileri, sistem pertahanan anti kapal pantai dan peluru untuk artileri dan sistem roket canggih yang sudah digunakan Ukraine, kata Biden.
Menerusi panggilan telefon dengan Zelensky, Biden berkata “saya mengesahkan komitmen AS akan menyokong Ukraine dalam mempertahankan demokrasinya dan menyokong kedaulatan dan integriti wilayah dalam menghadapi pencerobohan Russia yang tidak diprovokasi,” menurut satu kenyataan AS.
Biden juga mengumumkan bantuan kemanusiaan bernilai AS$225 juta untuk Ukraine.
Dana itu bagi kegunaan membekalkan makanan, air minuman, bekalan perubatan dan barangan kritikal lain.
“Keberanian, ketabahan, dan keazaman rakyat Ukraine terus memberi inspirasi kepada dunia,” kata Biden.
Pentagon memperincikan bekalan baharu itu termasuk 18 howitzer 155mm dan 36,000 butir peluru untuk mereka; dua sistem peluru berpandu antikapal Harpoon berasaskan darat; dan roket tambahan untuk empat sistem roket ketepatan Himars yang akan diletakkan oleh Ukraine dalam masa terdekat.
Dengan jarak sehingga sekitar 80km, roket Himars berpotensi memberikan Ukraine keupayaan yang lebih besar untuk menyerang sasaran Russia, dengan lebih ketepatan, dalam pertempuran artileri yang berterusan di sepanjang barisan hadapan.
Pegawai AS berkata kumpulan pertama tentera Ukraine sedang menamatkan latihan penggunaan Himars semalam.
Turut dalam pakej baharu itu ialah ribuan radio dan peranti penglihatan malam serta sistem penglihatan terma, kata Pentagon.
Pakej bantuan senjata baharu itu menjadikan setakat ini AS menyumbang AS$5.6 bilion nilai senjata kepada Ukraine sejak Russia menyerang pada 24 Februari. – AFP, 16 Jun, 2022.
Komen