PANEL pakar yang dirujuk Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan (FDA) Amerika Syarikat (AS) mengesyorkan vaksin Covid-19 Moderna digunakan untuk kanak-kanak di bawah usia lima tahun.
Ahli panel dijangka mengundi tidak lama lagi juga untuk membenarkan vaksin Pfizer diberikan kepada kelompok usia sama. Kebenaran secara rasmi perlu dilaksanakan segera dengan suntikan pertama dijangka minggu depan.
“Syor ini memenuhi keperluan yang tidak dapat dipenuhi untuk populasi muda yang benar-benar diabaikan,” kata Michael Nelson, seorang profesor perubatan di Universiti Virginia dan seorang daripada 21 pakar yang sebulat suara menegaskan manfaat vaksin Moderna mengatasi risikonya.
Kanak-kanak di bawah usia lima tahun satu-satunya kumpulan umur yang belum layak untuk imunisasi Covid-19 di AS dan kebanyakan negara.
Saintis kanan FDA Peter Marks berkata walaupun kajian menunjukkan majoriti kanak-kanak dijangkiti koronavirus, kadar kemasukan ke hospital yang tinggi dalam kalangan bayi dan kanak-kanak ketika gelombang Omicron musim sejuk lalu menekankan keperluan mendesak untuk vaksinasi.
“Kami sedang menangani isu yang mana kami perlu berhati-hati supaya tidak menjadi kebas kepada kematian kanak-kanak kerana jumlah kematian yang lebih besar.
“Setiap kehidupan adalah penting dan kematian yang boleh dicegah dengan vaksin adalah sesuatu yang kami ingin cuba lakukan,” katanya.
Setakat ini AS merekodkan 480 kematian Covid-19 dalam kumpulan umur kosong hingga empat tahun, menurut data rasmi terkini, jauh lebih tinggi daripada “musim selesema yang teruk,” kata Marks.
Sehingga Mei 2022, terdapat 45,000 kemasukan ke hospital dalam kumpulan itu, hampir satu perempat daripadanya memerlukan rawatan rapi.
Terdapat kira-kira 20 juta kanak-kanak AS berumur empat tahun ke bawah. – AFP, 16 Jun, 2022.
Komen