PUTRAJAYA perlu ada pemahaman, toleransi dan saling menghormati terhadap pasangan bukan warganegara yang juga sebahagian daripada Keluarga Malaysia, kata Family Frontiers.
Ketua koordinatornya, Bina Ramanand berkata kejayaan dalam kes Simon Momoh, di mana mahkamah menarik balik keputusan Jabatan Imigresen membatalkan visa pasangan warganegara Nigeria itu dan arahan penghantaran pulang ke negara asal susulan sabitan kesalahan memandu dalam keadaan mabuk, memberi harapan baharu kepada pasangan lain dalam situasi sama.
Family Frontiers ditubuhkan oleh Ramanand dan Asha Lim pada 2007. Ia diwujudkan bagi membantu wanita dan kanak-kanak dalam keluarga di mana pasangan suami isteri berbeza warganegara.
Dalam kes penahanan atau deportasi, kumpulan itu menyediakan rujukan kepada perkhidmatan guaman dan publisiti jika keluarga berkenaan sedia mempublisitikan kes mereka.
Kumpulan itu pada masa ini membantu beberapa pasangan luar negara yang ditahan imigresen atas pelbagai sebab, ada antaranya tidak berkaitan dengan undang-undang imigresen.
“Jumlah keluarga binasional di Malaysia semakin bertambah sebagai sebahagian dunia globalisasi, menyebabkan amat perlu undang-undang dan tadbir urus Malaysia mengambil kira keluarga seperti ini, bagi melindungi dan mengukuhkan unit keluarga, yang menjadi tulang belakang sesebuah masyarakat,” kata Ramanand kepada The Malaysian Insight.
“Pasangan suami isteri ini berada jauh dari negara asal dan mahu mencari rezeki untuk keluarga masing-masing dan memberi sumbangan kepada negara. Sangat penting untuk memastikan layanan adil dan hormat diberikan kepada mereka yang juga sebahagian daripada masyarakat kita dan Keluarga Malaysia.”
Dalam kes Momoh, dia ditahan pada 15 Mac kerana memandu di bawah pengaruh alkohol. Dia mengaku bersalah dan membayar denda RM12,000.
Dia kemudian ditahan sekali lagi mengikut Seksyen 35 Akta Imigresen 1959 dan ditempatkan di depoh tahanan imigresen Semenyih selama 40 hari.
Momoh memfailkan semakan kehakiman pada 20 April, 2021 untuk mencabar pembatalan visanya dan perintah pengusiran. Dia menamakan ketua pengarah Jabatan Imigresen dan menteri dalam negeri sebagai responden.
Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 2 Jun menarik balik keputusan Jabatan Imigresen untuk membatalkan visa pasangan Momoh dan perintah pengusiran.
Mahkamah juga berkata ketua pengarah imigresen tidak boleh menghukum individu yang tidak melakukan kesalahan mengikut Seksyen 56 Akta Imigresen 1959/63. – 16 Jun, 2022.
Berita penuh di sini.
Komen