Mahkamah batal saman terhadap Pandikar berkaitan soalan 1MDB di Parlimen


Noel Achariam

Ahli Parlimen Petaling Jaya Selatan Hee Loy Sian memfailkan saman kepada Speaker Dewan Rakyat Pandikar Amin Mulia kerana menolak secara tidak sah pertanyaan ahli Parlimen mengenai 1MDB di Parlimen. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 19 Februari, 2018.

MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur menolak saman Ahli Parlimen Petaling Jaya Selatan Hee Loy Sian kepada Speaker Dewan Rakyat Pandikar Amin Mulia kerana menolak secara tidak sah pertanyaan ahli Parlimen mengenai 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Parlimen.

Peguam mewakili Hee, N. Surendran berkata permohonan membatalkan saman oleh speaker berkaitan soalan 1MDB dibenarkan hakim.

“Ini bermakna saman asal kami untuk mencabar penolakan soalan oleh speaker sudah dibatalkan dengan tiada perintah kos.

“Permohonan kami adalah untuk mencabar penolakan soalan berkaitan skandal kewangan 1MDB dalam Parlimen,” katanya selepas perjumpaan dengan hakim dalam kamar hari ini.

Pada Ogos tahun lepas, Hee memfailkan saman kepada Pandikar yang enggan membenarkan dua soalannya berkaitan 1MDB dibangkitkan.

Hee mengatakan beliau mahu mahkamah memanggil Pandikar untuk menjawab semua soalan berkaitan 1MDB yang ditanya ahli Parlimen dalam Dewan Rakyat.

Usaha pembangkang untuk mendapatkan lebih banyak jawapan daripada kerajaan dalam Dewan Rakyat berkaitan isu menyelubungi 1MDB terhalang apabila Pandikar enggan menerima lebih 30 soalan disediakan pembangkang mengenai isu itu.

Pandikar menggunakan alasan sub judis untuk menolaknya.

Surendran berkata hakim bersidang, Kamaluddin Said tidak memberikan sebarang alasan membatalkan saman itu.

“Kami akan memohon penghakiman ini serta merta dan berharap mendapat tarikh pendengaran secepat mungkin kerana Parlimen akan mula bersidang tak lama lagi.

“Hakim berkata apabila kami merayu dia akan menyediakan alasan penolakan ini.”

Peguam N. Surendran mengatakan negara tidak boleh dibenarkan berada dalam situasi speaker Dewan Rakyat boleh menolak soalan ahli Parlimen tanpa sebab kukuh. Menambah yang pihaknya akan melakukan rayuan secepat mungkin. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 19 Februari, 2018.

Surendran berkata mereka sangat kecewa dengan keputusan hakim.

“Ada kes sebelum ini di Mahkamah Tinggi Ipoh, Perak yang membolehkan kami mencabar keputusan speaker sekiranya keputusan itu tidak sah atau melanggar Perlembagaan.

“Dalam kes ini kami membangkitkan isu berpelembagaan. Jadi kes kami sepatutnya dibenarkan diteruskan.”

Surendran berkata mereka akan terus memperjuangkan kes itu kerana ia melibatkan kepentingan awam.

“Jika Hee tidak dibenarkan bertanya soalan di Parlimen mengenai skandal 1MDB.

“Di mana lagi soalan itu boleh ditanya? Di mana lagi kerajaan akan berikan jawapan?”

Surendran berkata negara tidak boleh berada dalam situasi soalan difailkan ahli Parlimen boleh ditolak atau dipinggirkan mengikut keputusan dan hasrat speaker.

“Kita tak boleh macam tu. Speaker pun tertakluk kepada Perlembagaan dan tidak boleh buat sesuka hati dan perlu bertindak mengikut undang-undang bertulis sedia ada.

“Apabila soalan ditolak ia tidak boleh kerana penolakan tidak sah. Sudah tentu speaker ada kuasa untuk ketepikan sesetengah soalan yang tak ada kaitan dan merepek.

“Tetapi ini bukan kesnya dan ia (1MDB) adalah soalan tulen. Dia tak boleh tolak soalan tanpa alasan yang baik.”

Saman berkaitan RUU355 difailkan oleh Tawfik Ismail (kiri) pula ditangguhkan kepada Khamis ini kerana hakim memerlukan lebih masa melakukan penghakiman. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 19 Februari, 2018.

Hee mengatakan beliau akan terus membangkitkan soalan mengenai 1MDB.

“Saya sudahpun menghantar soalan itu sekali lagi.”

Mengenai pendengaran kes permohonan Pandikar untuk menolak saman berkaitan RUU355, hakim Kamaluddin menangguhkan pendengaran kepada Khamis ini.

Pandikar dan Setiausaha Dewan Rakyat Roosme Hamzah memohon pembatalan saman terhadap mereka oleh bekas ahli Parlimen Sungai Benut Mohamed Tawfik Ismail dalam kes berkaitan rang undang-undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016.

Peguam Rosli Dahlan yang mewakili Tawfik berkata hakim mahukan masa yang lebih untuk melakukan penghakiman dan akan mengeluarkan keputusan pada tengahari Khamis ini. – 19 Februari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • Menteri minah lesbian dh sound,mahkamah kanggaru mesti akur

    Dimuat naik 8 tahun yang lalu oleh Leslie Chan · Ulasan