China seru tingkat multilateralisme dalam hak asasi 


Wakil Tetap China ke PBB di Geneva, Chen Xu berkata mekanisme hak asasi multilateral perlu mematuhi Piagam PBB dan menyemarakkan nilai kemanusiaan.– Gambar EPA, 15 Jun, 2022.

INSTITUSI hak asasi manusia multilateral harus menjadi platform dialog dan kerjasama, bukan tempat untuk mencetuskan perpecahan atau konfrontasi, memetik satu kenyataan bersama ketika sesi ke-50 Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Selasa. 

Kenyataan bersama lebih 30 negara itu disampaikan Wakil Tetap China ke PBB di Geneva, Chen Xu.

Antara saranan kenyataan itu adalah menegakkan keadilan; mengekalkan keterbukaan dan keterangkuman; berpegang kepada keobjektifan dan kesaksamaan; serta mendukung prinsip pembahagian geografi yang saksama.

Chen berkata mekanisme hak asasi multilateral perlu mematuhi Piagam PBB dan menyemarakkan nilai kemanusiaan, serta menentang amalan mempolitikkan atau memperalat isu hak asasi.

“Semua pihak perlu memperkukuh perpaduan, menggerakkan dialog dan kerjasama konstruktif berpandukan prinsip sama rata dan saling hormat, sambil memperluas konsensus, saling mempelajari dan maju bersama,” katanya.  

Chen berkata mekanisme hak asasi multilateral juga perlu melakukan kerja berdasarkan maklumat yang objektif dan sahih, serta menghormati laluan pembangunan hak asasi yang dipilih pelbagai negara.

“Komposisi pekerja bagi mekanisme berkenaan perlu mencerminkan prinsip pengagihan geografi yang saksama dan membawa masuk lebih banyak bakat dari negara membangun,” katanya. – Bernama, 15 Jun, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen