Syarikat AS hentikan rancangan pelaburan di Shanghai


Shanghai masih melaksanakan perintah berkurung berpanjangan dengan ujian saringan Covid-19 dilakukan secara besar-besaran kerana ia meneruskan strategi sifar Covid. – Gambar EPA, 15 Jun, 2022.

PERINTAH berkurung berpanjangan akibat Covid-19 di Shanghai menyebabkan satu perempat daripada syarikat Amerika Syarikat (AS) di situ mengurangkan rancangan pelaburan dan hampir semua meramalkan penurunan pendapatan, kata kumpulan perniagaan hari ini.

Hasil tinjauan Dewan Perniagaan Amerika (AmCham) Shanghai itu petanda terbaharu kesan kawalan virus di China – satu-satunya ekonomi utama yang masih meneruskan strategi sifar-Covid, dengan menggunakan perintah berkurung dan ujian besar-besaran untuk menghapuskan wabak.

Langkah itu menyebabkan bandar terbesarnya Shanghai ditutup selama kira-kira dua bulan, dengan kekurangan pemandu lori menyebabkan barangan bertimbun di pelabuhan dan banyak perniagaan ditutup.

Lebih 90% syarikat AS di bandar itu yang ditinjau AmCham Shanghai mengurangkan unjuran pendapatan mereka tahun ini, kata kumpulan itu.

Tinjauan terhadap 133 syarikat juga mendapati satu perempat menjangkakan pendapatan 20% lebih rendah daripada unjuran.

Hampir 25% syarikat yang ditinjau mengurangkan rancangan pelaburan, kata AmCham Shanghai.

Hab komersial dengan populasi 25 juta orang itu ditutup di beberapa bahagian mulai akhir Mac, apabila varian Omicron menjadikan wabak Covid-19 terburuk di China dalam tempoh dua tahun.

Tanda kemarahan dan kekecewaan muncul sepanjang perintah berkurung, dengan beberapa penduduk bergelut untuk mendapatkan bahan mentah segar atau rawatan perubatan bukan Covid-19.

Walaupun pihak berkuasa membuat “senarai putih” syarikat yang boleh meneruskan perniagaan, ia terhad untuk meminimumkan penularan virus dan banyak syarikat kecil terus bergelut dengan sekatan. – AFP, 15 Jun, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen