47 negara salahkan China lakukan penindasan di Xinjiang


Media asing mengambil gambar di luar satu lokasi dikenali sebagai pusat pendidikan semula, di mana kerajaan China menegaskan ia sebenarnya pejabat biro hal ehwal veteran. – Gambar fail EPA, 15 Jun, 2022.

BERPULUH-PULUH negara menzahirkan kebimbangan berhubung dakwaan penindasan di wilayah Xinjiang, China dan menuntut Ketua Hak Asasi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menerbitkan laporan berkenaan situasi di sana.

“Kami terus mengambil berat mengenai situasi hak asasi manusia di wilayah autonomi Uighur, Xinjiang,” kata Duta Belanda ke PBB Paul Bakkers kepada Majlis Hak Asasi Manusia PBB.

Menyampaikan kenyataan bersama bagi pihak 47 negara, beliau merujuk beberapa laporan boleh dipercayai, biarpun ditolak sekerasnya oleh China, yang menunjukkan lebih satu juta Uighur dan minoriti Islam lain ditahan secara paksa di wilayah itu.

“Terdapat laporan mengenai pengawasan meluas yang berterusan, diskriminasi terhadap Uighur dan golongan minoriti lain,” katanya.

Kenyataan itu menyuarakan kebimbangan mengenai laporan penyeksaan dan layanan atau hukuman kejam, tidak berperikemanusiaan, keganasan seksual, buruh paksa dan pengasingan secara paksa kanak-kanak daripada ibu bapa mereka oleh pihak berkuasanya.

Katanya, semua negara itu mengulangi gesaan terhadap China untuk segera menangani kebimbangan itu serta menghentikan penahanan sewenang-wenangnya terhadap Uighur dan golongan minoriti lain.

Mereka juga menggesa Beijing menyediakan akses lebih luas dan tidak terikat kepada penyiasat dan pakar PBB untuk memerhati secara bebas mengenai situasi di lapangan.

Pesuruhjaya Tinggi PBB bagi Hak Asasi Manusia Michelle Bachelet sudah diberikan akses melawat wilayah itu bulan lalu, lawatan pegawai Hak Asasi Manusia PBB ke China dalam tempoh 17 tahun.

Bagaimanapun, beliau berdepan kritikan selepas tidak bersuara dengan lebih tegas terhadap dakwaan penderaan China sebelum dan ketika lawatan itu, yang dipercayai dikawal ketat pihak berkuasa China.

Dalam kenyataan itu semua negara berkenaan meminta pemantauan yang lebih terperinci, termasuk sekatan yang dikenakan pihak berkuasa China terhadap lawatan itu. – AFP, 15 Jun, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen