8 termasuk kanak-kanak maut kebakaran kafe di Iran


Satu letupan diikuti kebakaran semasa majlis hari jadi berlaku pada lewat Selasa di sebuah kafe di pinggir bandar Shahriar di Tehran. – Gambar EPA, 15 Jun, 2022.

LAPAN orang terkorban dalam kebakaran yang berlaku lewat Selasa di Tehran, ibu negara Iran.

Berlaku satu letupan diikuti kebakaran semasa majlis hari jadi di sebuah kafe di pinggir bandar Shahriar di Tehran, lapor Agensi Anadolu memetik Agensi Berita Tasnim.

Empat kanak-kanak adalah antara yang maut, menurut Persatuan Bulan Sabit Merah Iran.

Tiga kanak-kanak, tiga wanita, dan seorang lelaki meninggal dunia di tempat kejadian, dan seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun meninggal dunia di hospital.

Menurut Pejabat Pendakwaraya Shahriar, kafe itu terletak di ruang bawah tanah dan sebiji belon helium meletup dan terbakar, berdasarkan maklumat awal.

Ketika kejadian orang ramai melarikan diri ke dapur di bahagian belakang tetapi mengalami sesak nafas akibat asap. – Bernama, 15 Jun, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen