Muafakat Nasional ibaratnya tunggu khatam, kata Tok Mat


Muafakat Nasional sudah sampai ke surah akhir dan menunggu khatam kerana PAS menolak kerjasama dengan Umno, kata Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 Jun, 2022.

MUAFAKAT Nasional (MN) sudah sampai ke “surah akhir dan menunggu khatam” kerana PAS menolak kerjasama dengan Umno, kata Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan.

Dalam laporan Utusan Malaysia, Mohamad berkata PAS memilih untuk bersama Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka namun menyalahkan Umno mengkhianati kerjasama dua parti Melayu itu.

Katanya, Umno mengajak PAS bersama dalam PRN Melaka dengan syarat parti Islam itu bertanding menggunakan lambangnya sendiri namun kemudian menolak pelawaan itu.

“Mereka nak dengan PN. Tak apalah, kita tak ada masalah.

“Tetapi kemudiannya, mereka pula kata kita yang khianat. Itu yang pelik. Umno tak pernah khianati MN. Itu sebabnya bila orang tanya saya pasal MN, saya kata MN ini sudah sampai kepada surah akhir kita. Cuma, sama ada nak khatam sahaja atau tidak.

“Kalau nak khatam, khatamlah. Kalau tidak, kita sambung baca lagi,” katanya seperti dipetik Utusan Malaysia.

Mohamad berkata Umno perlu tegas membetulkan persepsi rakyat yang menganggap parti itu pengkhianat kerana tiada lagi kerjasama dengan PAS.

“Kami tak pernah kata kami dah tinggalkan MN. Yang Umno kata, kalau hendak kembali ke dalam MN, baliklah sorang-sorang. Janganlah bawa bini muda balik ke rumah bini tua pula. Kita tak terima bini muda kan?,” katanya, merujuk pada Bersatu.

MN adalah kerjasama rasmi politik Umno dan PAS yang dimeterai pada 14 September, 2019 ketika dua parti Melayu itu menjadi pembangkang untuk melawan kerajaan ketika itu, Pakatan Harapan (PH).

Selepas percaturan politik Langkah Sheraton, PAS bersama Bersatu dan parti lain di Sabah membentuk PN yang diterajui Muhyiddin Yassin.

Sekitar Ogos 2020, Umno bersetuju untuk menerima Bersatu dan mengesahkan parti pimpinan Muhyiddin itu bersetuju untuk bersama dengan MN.

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi ketika itu mengesahkan Umno dan PAS menjemput Bersatu menyertai MN melalui sepucuk surat yang ditandatanganinya bersama Presiden PAS Abdul Hadi Awang.

Setahun kemudian, Zahid kemudian mengetuai sekumpulan ahli Parlimen Umno menarik balik sokongan kepada Muhyiddin sebagai perdana menteri.

Umno juga membuat ketetapan pada perhimpunan agung tahunannya menolak kerjasama dengan Bersatu, selain DAP dan PKR. – 15 Jun, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen