Negara barat perlu hantar lebih banyak senjata berat ke Ukraine, kata NATO


NATO menggesa negara barat menghantar lebih banyak senjata berat ke Ukraine bagi menentang tentera Russia di negara itu. – Gambar EPA, 15 Jun, 2022.

NEGARA barat perlu menghantar lebih banyak senjata berat ke Ukraine bagi menentang kemaraan Russia di timur negara itu, kata Setiausaha Agung Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) Jens Stoltenberg semalam.

“Ukraine sepatutnya mempunyai lebih banyak senjata berat,” kata Stoltenberg pada sidang media di The Hague selepas pertemuan tujuh pemimpin sekutu NATO di eropah menjelang sidang kemuncak pentingnya.

Stoltenberg berkata NATO meningkatkan penghantaran dan mereka akan bertemu di Brussels hari ini untuk menyelaraskan bentuk sokongan seterusnya termasuk persenjataan berat.

“Ini kerana mereka benar-benar bergantung terhadap itu (sejata berat) untuk menentang pencerobohan kejam Russia,” katanya.

Ukraine berulang kali memohon senjata berat dari barat, mengkritik beberapa pemimpin eropah kerana gagal menghantar senjata yang disifatkan Kyiv perlu untuk menghalang kemaraan tentera Moscow.

Perdana Menteri Belanda Mark Rutte dan Perdana Menteri Denmark Mette Frederiksen menjadi tuan rumah kepada Stoltenberg dan pemimpin Poland, Romania, Latvia, Portugal dan Belgium menjelang sidang kemuncak NATO di Madrid pada akhir bulan ini.

Perdana Menteri Poland Mateusz Morawiecki kesal, barat tidak melakukan secukupnya bagi menyokong negara jirannya, Ukraine.

Katanya, negara barat akan dilihat tidak mempunyai kredibiliti jika Ukraine kalah dalam usahanya menentang Russia. – AFP, 15 Jun, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen