Kanak-kanak diselamatkan selepas 4 hari terperangkap dalam perigi


Pasukan penyelamat berdepan cabaran lebih besar ketika menyelamatkan kanak-kanak terperangkap dalam perigi di Raipur, India kerana mangsa tidak boleh mendengar dan bercakap. – Gambar AFP, 15 Jun, 2022.

PASUKAN kecemasan India berjaya menyelamatkan seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun semalam daripada perigi sempit selepas dilaporkan terperangkap sejak lebih empat hari lalu, menurut pihak berkuasa.

Rahul Sahu yang mengalami masalah pendengaran dan pertuturan, jatuh ke dalam perigi sedalam 24 meter petang Jumaat lalu, ketika bermain di halaman belakang rumahnya di wilayah tengah, Chhattisgarh.

Jentera penolak tanah dan kren digunakan untuk membantu menggali terowong di sebelah telaga, dengan kelebaran yang kecil.

Anggota tentera dan agensi bencana India turut membantu dalam operasi itu.

“Sahu berjaya diselamatkan atas doa semua orang dan usaha gigih pasukan penyelamat,” kata Ketua Menteri Bhupesh Baghel di Twitter.

Pegawai pentadbiran daerah tempatan Jeetendra Shukla memberitahu wartawan kanak-kanak itu masih bernyawa ketika ditemui tetapi lemah dan dikejarkan ke hospital berhampiran.

“Seekor ular dilihat di lubang yang sama tetapi budak lelaki itu berani dan kekal tenang ketika operasi menyelamatkannya,” katanya.

Katanya, cuaca buruk serta ancaman ular berbisa dan kala jengking yang ditemui ketika penggalian turut menghalang usaha menyelamat.

Ketua Polis Daerah Janjgir Vijay Agrawal berkata ketika operasi menyelamat, kamera digunakan untuk memantau keadaan dan pergerakan mangsa.

“Memandangkan kanak-kanak itu tidak boleh bercakap atau mendengar, kami berdepan cabaran lebih besar,” katanya. – AFP, 15 Jun, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen