BTS berpisah sementara, tumpu kerjaya solo


BTS umum berpecah, dengan semua ahlinya akan memberi tumpuan kepada kerjaya solo masing-masing. – Gambar EPA, 15 Jun, 2022.

KUMPULAN K-pop terkenal, BTS mengumumkan ia akan berehat bagi tempoh yang belum pasti, dengan semua ahlinya akan memberi tumpuan kepada kerjaya solo masing-masing.

BTS menerusi tujuh ahlinya berjaya menjana berbilion dolar kepada ekonomi Korea Selatan, membuat pengumuman itu pada makan malam tahunannya “Festa”, yang diadakan sempena ulang tahun kelahiran kumpulan itu.

“Kami akan berehat pada masa ini,” kata Suga, 29, menerusi klip video, yang dimuat naik ke saluran rasmi kumpulan itu di YouTube.

“Saya selalu beranggapan BTS berbeza daripada kumpulan lain. Tetapi masalahnya dengan K-pop dan keseluruhan sistem idola ialah ia tidak memberi masa untuk anda matang,” kata RM, 27.

Pada penghujung majlis makan malam berkenaan, beberapa ahli kumpulan yang popular dengan lagu “Dynamite” dan “Butter” itu kelihatan sebak dan menangis ketika menyatakan rasa terima kasih kepada peminat mereka, yang digelar “Army”.

J-Hope, 28, berkata kumpulan itu akan berpisah sementara untuk belajar bagaimana menjadi satu kumpulan semula.

“Saya harap anda tidak lihat perkara ini sebagai sesuatu yang negatif. Dan memandangnya sebagai satu rancangan yang sihat,” katanya kepada peminat.

“Bukannya kami berpecah – kami hanya berasingan buat sementara,” kata Suga.

BTS sebelum ini pernah berehat seketika iaitu pada 2019 dan Disember 2021.

Pengumuman itu dibuat hanya beberapa hari selepas kumpulan itu melancarkan “Proof”, iaitu album antologi yang turut memuatkan single baharu “Yet To Come (The Most Beautiful Moment)”. – AFP, 15 Jun, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen