HFMD: Negeri Sembilan rekod 5,110 kes sejak Januari


Sejak Januari hingga semalam sebanyak 5,110 kes penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) dilaporkan di Negeri Sembilan. – Gambar EPA, 14 Jun, 2022.

SEBANYAK 5,110 kes penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) dilaporkan di Negeri Sembilan sejak Januari hingga semalam, kata Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan negeri S. Veerapan.

Beliau berkata Seremban mencatatkan jumlah kes tertinggi iaitu 2,870 kes, diikuti Port Dickson (615), Jempol (593), Rembau (417), Tampin (240), Kuala Pilah (217) dan Jelebu (158).

“Kumulatif kes pada Minggu Epidemiologi (ME) 23/2022 yang berakhir pada 11 Jun adalah sebanyak 895 kes iaitu penurunan sebanyak tiga peratus berbanding minggu sebelumnya.

“Kumulatif wabak itu di Negeri Sembilan pada tahun ini adalah sebanyak 50 dengan tiada wabak HFMD yang aktif dilaporkan,” katanya dalam kenyataan di Seremban hari ini.

Beliau berkata daripada 50 wabak itu, sebanyak 34 wabak iaitu 68 peratus adalah melibatkan tadika dan taska serta perintah penutupan telah diberikan selain tiada tadika yang masih ditutup setakat ini.

Veerapan berkata ibu bapa atau penjaga perlu segera membawa anak yang bergejala HFMD mendapatkan rawatan dan tidak membawa kanak-kanak tersebut ke tempat awam termasuk sekolah dan pusat jagaan.

Selain itu, beliau juga meminta pengurus pusat jagaan kanak-kanak untuk membersihkan premis dan melakukan saringan terhadap kanak-kanak di bawah jagaan mereka seperti yang disarankan dalam Garis Panduan Pengendalian Kanak-Kanak di Taska dan Prasekolah. – Bernama, 14 Jun, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen