PELAKON lagenda tanah air Hamid Gurkha meninggal dunia pada pukul 2 petang tadi selepas kira-kira seminggu dimasukkan ke hospital akibat kesukaran bernafas, kata anaknya Fendy.
Allahyarham yang berusia 90 tahun meninggal dunia di Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang akibat penyakit tibi dan beberapa komplikasi lain.
“Benar, bapa saya telah meninggal dunia sekitar pukul 2 petang tadi. Jenazah diuruskan oleh pihak hospital dan kami rancang untuk proses pengebumian petang ini.
“Terima kasih atas doa semua peminat buat arwah bapa saya selama ini. Semoga semua cerita baik arwah akan dikenang selepas ini,” kata Fendy memetik laporan portal hiburan mStar.
Hamid dimasukkan ke hospital pada Rabu kerana mengalami kesukaran bernafas dan batuk yang teruk.
Hamid turut dilaporkan dijangkiti wabak Covid-19 pada Februari lalu.
Allahyarham yang pernah membintangi filem Panglima Badol sekitar 1978 tidak mengalami penyakit kronik sebaliknya hanya mengalami masalah pendengaran disebabkan faktor usia.
Selain itu Hamid yang turut dikenali sebagai pelawak juga pernah membintangi filem Gila-Gila, Sikit Punya Gila, Ragam Pemandu dan Zombie Kampung Pisang.
Hamid mendirikan rumah tangga dengan Timah Abdul Hamid, 80, sejak April 1957 dan dikurniakan lapan cahaya mata.
Dua daripadanya bagaimanapun sudah meninggal dunia.
Allahyarham turut dikurniakan 32 cucu dan 18 cicit. – 14 Jun, 2022.
Komen