PENGARAH Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman Ayob Khan Mydin Pitchay menafikan laporan disiarkan oleh Telegram Edisi Siasat bahawa beliau mengeluarkan kenyataan mendakwa ramai pegawai tinggi jabatan itu terlibat sindiket pengedaran dadah.
Beliau berkata laporan berkenaan adalah rekaan semata-mata yang berniat jahat untuk menjejaskan kredibiliti pucuk pimpinan tertinggi Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta cuba memberi gambaran bahawa rasuah berleluasa dalam jabatan itu.
“Saya menafikan sekeras-kerasnya bahawa kenyataan tersebut dikeluarkan oleh saya kepada Telegram Edisi Siasat.
“Sekiranya terdapat bukti kukuh ada pegawai atau anggota bersekongkol dengan sindiket pengedaran dadah, PDRM tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ayob Khan menegaskan semua kejayaan yang dicapai oleh PDRM adalah hasil kerjasama antara semua jabatan dalam PDRM bersama jabatan-jabatan dan agensi luar dan ia bukan kejayaan individu.
“Masyarakat diingatkan supaya tidak mudah percaya dan terpengaruh dengan sebarang kenyataan yang tidak berasas dan tidak ditentukan kesahihannya,” katanya.
Beliau berkata tindakan berkongsi atau menyebarkan kenyataan sedemikian akan menimbulkan keresahan dan kebimbangan masyarakat.
Hari ini tular menerusi Telegram Edisi Siasat mendakwa terdapat pegawai tinggi dalam PDRM melindungi sindiket pengedaran dadah serta mendapat “habuan besar”. – Bernama, 14 Jun, 2022.
Komen