150 maut akibat taun di Cameroon


Sejak lapan bulan lalu lebih 150 orang maut selepas wabak taun melanda semula Cameroon. – Gambar EPA, 14 Jun, 2022.

LEBIH 150 orang maut selepas wabak taun melanda semula Cameroon sejak lapan bulan lalu, kata Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) semalam.

“Kementerian kesihatan mencatatkan 8,241 kes dan 154 kematian setakat akhir Mei lalu,” kata Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (OCHA).

Tujuh daripada 10 wilayah di negara Afrika Barat itu melaporkan kes taun.

Yang paling teruk terjejas ialah Barat Daya dnegan 5,628 kes dan 90 kematian diikuti oleh Littoral dengan 2,208 kes dan 58 kematian, kata OCHA.

Taun adalah penyakit cirit-birit akut yang boleh dirawat dengan antibiotik dan penghidratan tetapi boleh membunuh dalam beberapa jam jika tidak dirawat.

Wabak berlaku secara berkala di Cameroon yang mempunyai populasi lebih daripada 25 juta. Wabak terakhir melanda antara Januari dan Ogos 2020 apabila 66 orang meninggal dunia.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia penyelidik menganggarkan setiap tahun terdapat antara 1.3 juta dan 4.0 juta kes taun di seluruh dunia. – AFP, 14 Jun, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen