Sertai protes antikerajaan, 381 dijatuhi hukuman di Cuba


Seramai 381 peserta yang mengambil bahagian dalam protes antikerajaan pada Julai lalu dijatuhi hukuman oleh pihak berkuasa Cuba. – Gambar EPA, 14 Jun, 2022.

PIHAK berkuasa Cuba menjatuhkan hukuman kepada 381 peserta yang mengambil bahagian dalam protes antikerajaan pada Julai lalu, kata pendakwa raya semalam.

Daripada jumlah itu seramai 36 peserta dijatuhi hukuman penjara sehingga 25 tahun kerana menghasut.

Protes besar-besaran berlaku di seluruh Cuba pada 11 dan 12 Julai apabila penunjuk perasaan menuntut kebebasan ketika negara itu berdepan masalah ekonomi, kekurangan perubatan dan makanan serta kemarahan terhadap kerajaan.

Tindakan keras oleh pasukan keselamatan menyebabkan seorang maut, berpuluh-puluh cedera dan 1,300 orang ditahan, menurut pertubuhan awam Justicia 11J.

Pendakwa raya berkata mereka yang dijatuhkan hukuman semalam kebanyakannya berdepan jenayah hasutan, sabotaj, rompakan dengan kekerasan dan keganasa, serangan, penghinaa (kekuasaan) serta kekacauan awam. 

Mereka yang dijatuhkan hukuman termasuk 16 remaja berusia 16 hingga 18 tahun.

Seramai 297 dijatuhi hukuman penjara manakala 84 lagi termasuk 15 remaja diberi pilihan untuk diringankan hukuman dengan khidmat masyarakat.

Walaupun rakyat Cuba hanya mencapai usia dewasa yang sah pada 18 tahun, tanggungjawab jenayah dikenakan dari usia 16 tahun.

Pada Januari pihak berkuasa berkata seramai 790 orang didakwa atas tuduhan menyertai tunjuk perasaan itu.

Kerajaan menuduh Amerika Syarikat menganjurkan protes berkenaan.

Washington mengecam Havana kerana hukuman yang keras dan menuntut pembebasan semua yang ditahan terlibat dalam protes itu. – AFP, 14 Jun, 2022.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen