PROJEK Lebuh Raya Kota Bharu-Kuala Krai (KBKK) bagi Pakej 2B: Ketereh-Kok Lanas sepanjang 6.2 kilometer (km) yang sepatutnya siap bulan lepas mengalami masalah kelewatan sebanyak 308 hari atau 23 peratus.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Mustapa Mohamed berkata projek Lebuh Raya KBKK melibatkan tujuh pakej dengan anggaran kos keseluruhan sebanyak RM2.7 bilion dan ia dijangka siap sepenuhnya pada 2025.
Katanya sehingga Mei lepas, dua pakej telah siap sepenuhnya manakala lima pakej masih dalam peringkat pembinaan.
“Selain Pakej 2B tersebut, empat lagi iaitu Pakej 2C dan 3A: Kok Lanas-Bukit Tiu sepanjang (19.13 km), Pakej 3B: Kampung Berangan Mek Nab-Keroh (9.78km) dan Pakej 3C:Keroh-Kuala Krai (8.6km) berjalan mengikut jadual.
“Pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) Kelantan ketika ini sedang mengambil langkah-langkah untuk mengatasi masalah tersebut dan menyiapkan projek itu dengan segera, termasuk penamatan kontrak kontraktor terlibat,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Taklimat Status Projek Pembangunan Negeri Kelantan yang bertujuan untuk menyelaras pelaksanaan projek Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12), di Kompleks Kota Darul Naim di Kota Bharu hari ini.
Mengulas lanjut, Mustapa berkata satu lagi projek ‘sakit’ ialah pembesaran dan naik taraf Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) di Pengkalan Chepa yang mengalami kelewatan selama 100 hari.
“Isu utama kelewatan ialah kekurangan tenaga kerja, kenaikan harga bahan binaan dan prestasi kontraktor yang tidak memuaskan,” katanya.
Sementara itu, Mustapa berkata sebanyak 27.8 peratus atau RM665 juta daripada jumlah peruntukan pembangunan di Kelantan bagi tahun ini telah dibelanjakan setakat Mei lepas.
Beliau berkata walaupun perbelanjaan itu lebih rendah berbanding dengan purata nasional iaitu 33.5 peratus, pencapaian itu adalah lebih tinggi berbanding 14 peratus atau RM335 juta yang dicatat pada April. – Bernama, 14 Jun, 2022.
Komen