Yeoh hairan kontroversi buku timbul 2 tahun selepas dilancarkan


Low Han Shaun

HANNAH Yeoh melahirkan kehairanan dengan kritikan terhadap autobiografinya “Becoming Hannah” hari ini, sedangkan Ahli Parlimen PAS Saari Sungib turut menghadiri majlis pelancarannya pada 2014 tanpa membangkitkan sebarang persoalan.

Speaker Dewan Undangan Negeri Selangor itu dikritik seorang pensyarah universiti yang berkata autobiografi itu bertujuan mempengaruhi umat Islam, mendapat sokongan daripada kumpulan Melayu dan PAS.

“Ketika itu, Saari Sungib masih bersama PAS, pada majlis pelancaran itu beliau tidak mempunyai sebarang keraguan dengan buku saya, jadi mengapa ia menjadi masalah sekarang?” kata Yeoh pada acara Bicara Buku “Becoming Hannah” di Galeri Sejarah Kuala Kubu malam ini.

Buku itu menjadi kontroversi apabila pensyarah kanan Universiti Utara Malaysia Kamarul Yusoff menyiarkan posting di Facebook dan berkata buku itu bertujuan mempengaruhi orang Islam.

Kamarul juga membuat laporan polis terhadap Yeoh di Kedah untuk membalas laporan dibuat Yeoh terhadapnya berhubung posting Facebook pada 10 Mei.

Adun Subang Jaya itu berkata beliau kini sedang menunggu polis memanggilnya untuk diambil keterangan.

“Sokongan amat menggalakkan! Pada masa ini saya masih menunggu polis memanggil saya dan ia sedang dalam siasatan. Saya fikir ia lebih baik membiarkan polis menjalankan siasatan mereka,” katanya.

Pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang turut menghadiri perbincangan buku dan mengatakan ia tidak mempengaruhi beliau untuk memeluk agama Kristian.

“Pilihan raya sudah dekat, itulah sebabnya perkara seperti ini tiba-tiba diketengahkan,” katanya.

Sasterawan Negara A. Samad Said, yang berada di sana, berkata rakyat perlu melihat lebih jauh daripada isu agama dan belajar bagaimana hidup bersama antara satu sama lain. – 27 Mei, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen