Perlu ada faktor wow pada Bajet 2023 untuk BN menang, kata Mat Hasan 


Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan BN mungkin akan memperoleh banyak kelebihan sekiranya pilihan raya diadakan selepas pembentangan Bajet 2023.– Gambar fail The Malaysian Insight, 14 Jun, 2022.

BAJET 2023 memerlukan “faktor wow” untuk meyakinkan pengundi menyokong Barisan Nasional (BN), kata Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan kepada Utusan Malaysia.

“Apabila kita kata bajet, ini bajet Ismail Sabri, bajet Umnolah, bajet BN. Nak pilihan raya buatlah bajet yang elok-elok,” beliau dipetik sebagai berkata dalam temubual di akhbar harian berkenaan.

Mohamad berkata sekiranya ada “faktor wow”, ia akan memberikan mileage kepada Umno dan BN untuk PRU15.

Beliau berkata walaupun Umno mahu pilihan raya umum diadakan lebih awal berikutan prestasi kukuh BN dalam pilihan raya negeri Melaka dan Johor, BN mungkin boleh memperoleh lebih banyak mileage politik jika pilihan raya diadakan selepas Bajet 2023 dibentangkan, dengan syarat kerajaan pimpinan Ismail Sabri merangka pelan perbelanjaan yang baik.

Ismail Sabri merupakan naib presiden Umno, dan telah mendapat tekanan daripada pemimpin partinya supaya mengadakan pilihan raya lebih awal.

Perdana menteri telah menandatangani memorandum persefahaman dengan Pakatan Harapan (PH) untuk tidak mengadakan pilihan raya sebelum Julai tahun ini. PH juga menggesa beliau supaya tidak mengadakan pilihan raya tahun ini sehingga undang-undang anti lompat parti diluluskan di Parlimen. – 14 Jun, 2022.


 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen