AS lulus ubat rawat botak


Pelakon Hollywood Jada Pinkett Smith individu yang menghidapi penyakit alopesia areata. – Gambar AFP, 14 Jun, 2022.

PENTADBIRAN Makanan dan Ubat-ubatan (FDA) Amerika Syarikat  pada Isnin meluluskan ubat baricitinib untuk merawat alopesia areata yang dihidapi lebih 300,00 orang di negara itu.

Alopesia areata adalah gangguan autoimun yang menyerang folikel rambut, menyebabkan keguguran teruk atau botak pada bahagian tertentu atau seluruh badan, yang membawa kepada tekanan emosi. Pelakon Hollywood Jada Pinkett Smith dan anggota Kongres Ayanna Pressley antara individu yang menghidapi penyakit ini.

Baricitinib yang juga dikenali dengan nama Olumiant, dihasilkan syarikat farmaseutikal AS Eli Lilly, tergolong dalam kelas ubat perencat Janus kinase (JAK) yang menghalang enzim tertentu yang dikaitkan dengan keradangan. 

FDA dalam kenyataannya berkata kelulusan diberi berdasarkan keputusan dua ujian klinikal terkawal melibatkan 1,200 individu dewasa yang menghidap alopecia teruk.

Ujian dijalankan ke atas tiga kumpulan penerima; kumpulan yang menerima plasebo, kumpulan yang menerima dos dua miligram setiap hari dan satu lagi yang menerima dos empat miligram setiap hari, katanya.

Selepas 36 minggu, hampir 40% daripada penerima yang menerima dos tinggi mendapati 80% rambut mereka tumbuh semula, berbanding 23% penerima dos tendah dan hanya 5% dari kumpulan penerima plasebo.

Kira-kira 45% penerima dos tinggi juga mendapati bulu kening dan bulu mata mereka tumbuh semula.

Antara kesan sampingan pengambilan ubat baricitinib termasuk jangkitan saluran pernafasan, sakit kepala, jerawat dan peningkatan enzim creatine phosphokinase. – AFP, 14 Jun, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen