AMAZON bercadang untuk memulakan penghantaran barang menggunakan dron selewat-lewatnya hujung tahun ini.
Kaedah itu akan dimulakan di California, umum syarikat perniagaan atas talian itu semalam.
Penghantaran barang kepada pelanggan menggunakan dron sudah pun dimulakan pesaingnya Walmart pada Mei. Walmart dilapor media berkata syarikat itu sedang mengembangkan penghantaran dron di enam negeri tahun ini.
Amazon dalam satu makluman di laman webnya berkata pelanggan di bandar Lockeford di California Utara boleh mendaftar bagi perkhidmatan penghantaran menggunakan dron “Prime Air” secara percuma.
Barang yang boleh diterbangkan yang dipesan di laman web akan dihantar ke alamat pelanggan pada ketinggian yang selamat, katanya. Dron mampu membawa muatan seberat 2.2 kilogram yang diisi dalam bungkusan sebesar kotak kasut.
Antara barang yang disenaraikan selamat untuk diterbangkan dengan dron termasuk produk kecantikan dan peralatan pejabat.
Amazon berkata syarikat itu telah mencipta sistem canggih yang membolehkan dron mengesan dan mengelak pesawat, manusia, haiwan dan halangan lain.
Maklum balas daripada operasi di California akan digunakan untuk mengembangkan perkhidmatan tersebut, katanya. – AFP, 14 Jun, 2022.
Komen