Kekurangan pekerja jejas sektor pelancongan, kata persatuan


Khoo Gek San

Kekurangan pekerja kini menjadi isu kritikal bagi pengusaha pelancongan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 14 Jun, 2022.

MASALAH kekurangan pekerja masih belum menemui jalan penyelesaian ketika negara mula menerima kemasukan pelancong terutamanya dari luar negara sejak sektor pelancongan negara dibuka semula, kata pemain industri.

Walaupun kejatuhan nilai ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat pada masa ini membantu menarik lebih ramai pelancong luar ke Malaysia, namun kekurangan pekerja kini menjadi isu kritikal bagi pengusaha pelancongan.

“Bagi bulan Jun, seramai 2,000 pelancong masuk ke Malaysia, semuanya dari Vietnam,” kata Timbalan Presiden Persatuan Penggalakan Pelancongan Inbound Cina Malaysia (MICA) Cindy Seow kepada The Malaysian Insight.

Katanya, kebanyakan pelancong yang datang mengikut lawatan syarikat atau program ‘team-building’, sementara yang lain mendapat hadiah percutian dari majikan atau menghadiri persidangan.

Ketika ramai pelancong dari Indonesia, Thailand, Vietnam dan Kemboja memilih Malaysia kerana berjaya mengawal wabak Covid-19 dengan baik, namun pengusaha pelancongan pula dihantui isu kekurangan pekerja.

Timbalan Presiden Malaysia Inbound Chinese Association Cindy Seow. – 14 Jun, 2022.

“Pengendali pelancongan perlu mengatur jadual perjalanan mengikut waktu daftar masuk hotel. Kumpulan ini biasanya mendaftar pelancong masuk hotel sebelum meneruskan aktiviti lawatan.

“Tetapi oleh kerana hotel kekurangan pekerja, maka lawatan terpaksa ditangguhkan kerana mereka tidak boleh mendaftar masuk terus pada pukul 2 petang. Jadi kumpulan pelancong terpaksa tunggu sehingga pukul 4 petang, dan adakala sampai pukul 6 petang sebelum mendaftar masuk,” kata Seow.

Situasi sama juga berlaku di restoran dan kedai makan, tambahnya.

“Seramai 100 orang perlu tunggu untuk daftar masuk hotel, manakala 100 lagi tunggu untuk daftar keluar. Apabila agensi pelancongan dah bersedia, hotel dan restoran pula masih belum.

“Banyak restoran tutup cawangan dan kurangkan kapasiti akibat pandemik Covid-19. Jadi, apabila 100 orang sudah sampai, restoran pula tak cukup pekerja dan ruang pula tak dapat menampung jumlah pelanggan.

“Ini juga salah satu masalah yang menyukarkan industri pelancongan untuk pulih,” jelasnya.

Walaupun sempadan negara mula dibuka sejak 1 April lalu, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya gagal mencapai sasaran 2 juta pelancong luar negara, sebaliknya hanya separuh daripada jumlah itu yang tiba pada Jun.

Isu kekurangan pekerja hotel menggugat kualiti perkhidmatan yang seterusnya menjejaskan industri pelancongan, kata pemain industri. – Gambar fail The Malaysian Insight, 14 Jun, 2022.

Kekurangan pekerja di hotel dan restoran kritikal 

Diminta mengulas isu ini, Presiden MICA Angie Ng berkata kejayaan membendung penularan Covid-19 dengan baik menyebabkan Malaysia menjadi pilihan ramai pelancong dari negara-negara jiran.

Bagaimanapun, isu kekurangan pekerja hotel menggugat kualiti perkhidmatan yang seterusnya menjejaskan industri pelancongan, katanya.

Angir berkata sektor pelancongan kekurangan pekerja bahagian pengemasan hotel dan pemandu bas persiaran kerana Kementerian Dalam Negeri masih belum meluluskan permit pekerja asing.

Tambahnya, walaupun kejatuhan nilai ringgit dapat membantu menarik lebih ramai pelancong luar ke Malaysia, namun kos bahan api yang tinggi menyebabkan agensi pelancongan menanggung kenaikan kos bagi lawatan ke luar negara sebanyak 20%. – 14 Jun, 2022.     

Berita penuh di sini


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen