Putra pertimbang saman kerajaan Kelantan kes bekalan air


Diyana Ibrahim

PARTI Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) akan membantu rakyat Kelantan untuk mengemukakan saman ke atas kerajaan negeri berhubung masalah air yang berlarutan di negeri itu lebih 30 tahun.

Ketua Putera Bahagian Pasir Mas, Suzainal Adnan Sukri berkata mereka melantik peguam untuk meneliti tuntutan yang akan difailkan terhadap kerajaan negeri.

“Peguam kita sedang teliti dan memperhalusi apa perkara atau tuntutan yang kita boleh buat bagi pihak rakyat dan pengguna.

“Mungkin kita akan minta sudut pandang daripada pakar pengguna berhubung saman ini,” katanya ketika ditemui The Malaysian Insight.

Beliau berkata masalah air di Kelantan begitu meruncing dan mereka juga kecewa dengan maklum balas yang diterima daripada Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB).

Dakwanya AKSB sepatutnya dari dahulu perlu membaik pulih dan menyelenggara tangki air di setiap kawasan Dewan Undangan Negeri dan Parlimen namun ia tidak pernah dilakukan.

Beliau mendakwa, kontraktor meminta AKSB untuk membaik pulih dan menyelenggara tangki di satu kawasan DUN sejak 2015 namun tidak dilakukan.

“Jadi sebab perkara itu saluran air tersumbat air jadi jadi karat, air tak sampai bekalan air itu terputus,” katanya.

Masalah bekalan air itu antara rungutan utama ke atas pentadbiran PAS di Kelantan walaupun parti itu menguasai negeri pantai timur tersebut sejak lebih 30 tahun.

Sentimen tersebut diperhatikan semakin keras sewaktu tumpuan terarah pada tarikh Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang dijangka akan diumumkan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.

Isu mengenai pentadbiran bahan keperluan tersebut juga menjadi bahan utama kempen Umno untuk merampas kembali negeri itu daripada PAS.

Pemimpin PAS juga kini menguasai jawatan utama berkenaan pentadbiran bekalan air seperti timbalan presidennya Tuan Ibrahim Tuan Man yang kini menteri di portfolio Alam Sekitar dan Air.

Namun menurut beliau, isu bekalan air di Kelantan hanya dapat diselesaikan dalam tempoh 40 tahun lagi dan memerlukan dana sekitar RM7.3 bilion.

Ketua Putera Bahagian Pasir Mas, Suzainal Adnan Sukri berkata mereka melantik peguam untuk meneliti tuntutan yang akan difailkan terhadap kerajaan negeri. – Gambar  The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 14 Jun, 2022.

Rebat telaga tiub

Selain itu, Suzainal berkata beliau turut menggerakkan bantuan pemberian rebat 50% bagi pembinaan telaga tiub kepada penduduk Pasir Mas yang tidak mampu.

Beliau berkata Putera mensasarkan pemberian rebat kepada 2,000 buah rumah dan setakat ini sudah dapat menyelesaikan 60 buah rumah di sekitar kawasan Pasir Mas.

“Sekarang ini kita lancar program rebat 50% kepada penduduk kampung sekitar Pasir Mas yang mengalami hilang punca air,

Sejak 17 Mei, Putera Pasir Mas sudah selesaikan 60 pembinaan telaga tiub ini.

Jelasnya, langkah ia langkah jangka pendek bagi membantu rakyat yang sudah tidak mampu lagi menanggung derita akibat ketiadaan air.

“Kita buat program ini sebab kita fikir ini adalah tindakan paling cepat yang kita boleh lakukan rakyat,” katanya.

Tambahnya, mereka juga akan memasang penapis kerana bekalan air dari kaedah itu biasanya berbau atau berlumpur.

Tambah ahli perniagaan itu, setiap pembinaan telaga tiub ini akan memakan kos bermula dari RM800 hingga RM1300 bergantung kepada kedalaman telaga yang digali.

Tambahnya lagi permintaan yang diterima daripada penduduk juga sangat mengalakkan namun terpaksa mengehadkan kerana kekangan kos.

Suzainal berkata kos pemberian rebat bagi pembinaan telaga tiub ditanggung sepenuhnya oleh beliau. – 14 Jun, 2022.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen