KEMENTERIAN Kesihatan hari ini memberikan beberapa langkah penyelesaian sementara bagi memastikan bekalan ubat mencukupi di semua hospital dan klinik swasta termasuk farmasi.
Menterinya Khairy Jamaluddin dalam satu kenyataan berkata fasiliti kesihatan swasta boleh memohon pinjaman bekalan ubat-ubatan dari fasiliti kesihatan swasta yang lain atau fasiliti kesihatan kerajaan terdekat.
“Sekiranya perlu, pesakit boleh dirujuk ke fasiliti kesihatan kerajaan terdekat untuk meneruskan rawatan. Namun demikian, pesakit mungkin memerlukan perubahan regimen ubat-ubatan berdasarkan ketersediaan di fasiliti kerajaan yang dirujuk,” katanya.
Sebelum ini, pengarah eksekutif Persatuan Pembekal Farmaseutikal Malaysia (Maps) Dr Choe Tong Seng berkata barangan farmaseutikal Malaysia banyak bergantung kepada bahan farmaseutikal aktif (API) yang diimport selain perantaraan farmaseutikal.
China merupakan penyedia terbesar API dan perantaraan farmaseutikal di dunia. Perantaraan farmaseutikal ialah sebatian kimia yang membentuk blok binaan API.
Pencerobohan Rusia ke atas Ukraine telah mengakibatkan harga minyak melambung tinggi dan meningkatkan kos penghantaran, sekali gus mengganggu bekalan sebatian ubat tertentu yang dihasilkan daripada petrol.
Malaysia turut terkesan teruk kerana bergantung kepada bekalan global API dan produk siap.
Mengulas lanjut, Khairy berkata langkah lain ialah pesakit boleh membeli ubat-ubatan tersebut dari Farmasi Komuniti dengan preskripsi dari klinik/hospital swasta berkenaan.
“Fasiliti kesihatan kerajaan boleh menimbang untuk meminjamkan bekalan ubat-ubatan untuk kegunaan ketika kecemasan, krisis dan bencana dengan memastikan terlebih dahulu ketersediaan dan baki stok ubat-ubatan mencukupi untuk kegunaan aktiviti harian fasiliti kesihatan kerajaan tersebut,” tambahnya.
Ahli Parlimen Rembau berharap langkah itu dapat memberi penyelesaian sementara kepada isu kekurangan bekalan ubat ke fasiliti kesihatan swasta.
Beliau juga memberi jaminan kementeriannya sedang merancang penyelesaian jangka panjang.
“Penyelesaian jangka panjang sedang diusahakan KKM dalam menangani isu ini dan pemantauan berterusan dibuat untuk memastikan ketersediaan ubat-ubatan di seluruh Malaysia,” katanya.
Awal hari ini, Ahli Parlimen Bandar Kuching Dr Kelvin Yii berkata Putrajaya perlu segera bertindak untuk pastikan bekalan ubat-ubatan di Sarawak mencukupi agar penjagaan kanak-kanak tidak terganggu
Beliau berkata demikian menjawab laporan sebuah klinik kanak-kanak di Miri yang mendakwa ia tidak dapat menjalankan terapi fizikal untuk kanak-kanak yang menghidap asma kerana kekurangan Ventolin dan ubat demam biasa, batuk dan selsema lain kerana kehabisan bekalan.
Antara barangan yang telah habis termasuklah ventolin nebulas dan ventolin solutions untuk merawat asma. – 13 Jun, 2022.
Komen