KERAJAAN akan memperkenalkan harga siling bergerak bagi barangan makanan bagi memastikan subsidi sampai kepada golongan sasaran, kata Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.
Beliau berkata harga siling bergerak adalah berdasarkan harga input.
“Syarikat berkaitan kerajaan dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan juga akan diminta mengambil bahagian dalam industri makanan agro bagi memastikan bekalan mencukupi,” kata Ismail dalam satu kenyataan selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi (MTN) hari ini.
“Sebagai contoh, harga ayam boleh dikawal dengan lebih baik sekiranya agensi kerajaan terlibat dalam ekosistem pembekalan makanan, anak ayam, pengangkutan dan pemasaran,” tambahnya.
Beliau berkata kerajaan persekutuan dan negeri juga akan berbincang mempertingkatkan keluasan tanah yang diperlukan untuk tujuan pertanian bagi mengurangkan pergantungan Malaysia terhadap import makanan.
Sementara itu, Ismail Sabri berkata mesyuarat MTN juga memutuskan untuk mengurangkan masa yang diperlukan untuk pengambilan pekerja asing daripada sasaran 6 hingga 12 bulan kepada 2 bulan.
“Temuduga pekerja asing akan dilakukan di negeri dan bukannya pusat sehenti di Kementerian Sumber Manusia di Putrajaya,” kata Ismail Sabri.
Bagi membantu mengatasi kekurangan tenaga kerja sektor elektrik dan elektronik, kerajaan juga akan mengadakan program “Train and Place” untuk 1,000 jurutera dan 1,000 juruteknik.
Beliau berkata kerajaan juga akan mempercepatkan mekanisme pengambilan kerja ekspatriat dan warga asing. – 13 Jun, 2022.
Komen