Laporan lengkap kes Pulau Batu Puteh, Adib, buku Tommy Thomas siap Ogos


Menteri di Jabatan Perdana Menteri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata pasukan dan jawatankuasa terlibat meminta pelanjutan bagi memperhalusi setiap laporan dan kajian. – Gambar fail The Malaysian Insight, 12 Jun, 2022.

LAPORAN lengkap mengenai siasatan dan kajian terhadap kes Pulau Batu Puteh, kematian anggota bomba Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim dan dakwaan dalam buku “My Story: Justice in the Wilderness” tulisan bekas peguam negara Tommy Thomas dijangka siap Ogos depan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata pasukan dan jawatankuasa terlibat meminta pelanjutan bagi memperhalusi setiap laporan dan kajian.

Wan Junaidi berkata pelanjutan itu diperlukan antaranya bagi proses penterjemahan khususnya berkaitan istilah perundangan berikutan ada laporan ditulis dalam bahasa Inggeris.

“Ada juga laporan memerlukan sedikit masa kerana pihak jawatankuasa siasatan berhadapan beberapa masalah antaranya perolehan dokumen dan saksi,” katanya dalam sidang media di Putrajaya, hari ini.

Sebelum ini, Wan Junaidi dilaporkan berkata laporan akhir siasatan kes kematian Adib dan dakwaan dalam buku bekas peguam negara Tommy Thomas akan dibentang kepada Kabinet pada Jun.

Adib mengalami kecederaan parah semasa kekecohan di Kuil Sri Maha Mariamman di USJ 25, Subang Jaya pada 27 November 2018 dan meninggal dunia akibat kecederaan ketika menerima rawatan di Institut Jantung Negara pada 17 Disember 2018.

Kabinet pada 29 Oktober tahun lepas bersetuju menubuhkan sebuah pasukan petugas khas bagi menyemak semula tindakan dan isu perundangan berkenaan kes Pulau Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan pada 29 Oktober yang dipengerusikan bekas peguam negara Mohamed Apandi Ali.

Pasukan itu mengemukakan dan membentangkan laporan interim pada penghujung April lepas.

Pasukan khas turut ditubuhkan bagi memberi fokus kepada pencarian fakta terhadap dakwaan dalam buku tulisan Tommy Thomas yang dipengerusikan bekas Peguam Besar Negeri Sarawak dan Penasihat Undang-Undang Kerajaan Sarawak Fong Joo Chung. – Bernama, 13 Jun, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen