Bank Dunia kekalkan unjuran pertumbuhan ekonomi Malaysia 5.5%


Pertumbuhan penggunaan swasta Malaysia dijangka mencecah 8.5% tahun ini - kadar terpantas sejak 2008. – Gambarfail The Malaysian Insight, 13 Jun, 2022.

BANK Dunia pada Isnin mengekalkan unjuran pertumbuhan ekonomi Malaysia tahun ini pada 5.5%.

Pertumbuhan itu didorong terutamanya oleh pemulihan kukuh dalam permintaan penggunaan, kata Bank Dunia dalam satu laporan.

Menurut bank yang berpangkalan di Washington itu, pertumbuhan penggunaan swasta Malaysia dijangka mencecah 8.5% tahun ini - kadar terpantas sejak 2008, lapor Xinhua.

Pemulihan yang kukuh dalam perbelanjaan isi rumah adalah berasaskan kepada kebimbangan kesihatan awam yang semakin berkurang terhadap beban kes Covid-19, serta sokongan dasar yang berterusan dan penambahbaikan secara beransur-ansur kepada prospek pekerjaan dan pendapatan, tambah laporan itu.

Bank Dunia juga mengunjurkan ekonomi Malaysia akan tumbuh pada 4.5% pada 2023 dan 4.4% pada 2024.

Ekonomi Malaysia menguncup sebanyak 5.6% pada 2020 tetapi berdasarkan mandat vaksinasi yang dipercepatkan, dan pengurangan halangan mobiliti, ia meningkat pada 3.1% tahun lepas.

Pemulihan ekonomi negara berterusan tahun ini, tumbuh sebanyak 5% pada suku pertama 2022.

Sebahagian besar daripada pertumbuhan itu didorong oleh peningkatan permintaan dalam negeri berikutan penyambungan semula kebanyakan aktiviti ekonomi apabila langkah-langkah sekatan berkaitan pandemik terus dilonggarkan. – Bernama, 13 Jun, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen