Bekas PM Rusia jangka perang Ukraine berlarutan dua tahun


Bekas perdana menteri Rusia Mikhail Kasyanov (kanan) menjangkakan perang akan berlarutan sehingga dua tahun namun yakin Rusia dapat kembali kepada landasan demokrasi. – Gambar AFP, 13 Jun, 2022.

PERDANA menteri pertama Vladimir Putin, Mikhail Kasyanov mengakui tidak pernah terfikir yang bekas bosnya akan melancarkan perang besar-besaran ke atas Ukraine.

Bercakap kepada AFP dalam wawancara melalui video, Kasyanov, perdana menteri Rusia dari 2000 hingga 2004, berkata beliau menjangkakan perang akan berlarutan sehingga dua tahun namun yakin Rusia dapat kembali kepada landasan demokrasi.

Beliau yang memperjuangkan hubungan rapat dengan Barat ketika ,enjadi perdana menteri berkata, seperti kebanyakan rakyat Rusia yang lain, beliau tidak percaya perang itu akan benar-benar terjadi.

Kasyanov cuma faham apabila Putin memanggil kepimpinan tertinggi negara untuk mesyuarat majlis keselamatan tiga hari sebelum pencerobohan pada 24 Februari.

“Apabila saya tengok mesyuarat Majlis Keselamatan Rusia saya sedar, ya, akan ada perang,” kata Kasyanov.

Tambahnya beliau merasakan Putin sudah tidak berfikir dengan betul.

“Saya kenal orang-orang ini dan apabila melihat mereka saya nampak yang Putin sudah tidak boleh. Bukan dari segi perubatan tetapi dari segi politik,” katanya.

“Putin yang saya kenal sangat berbeza.”

Selepas dipecat oleh Putin, Kasyanov menyertai pembangkang Rusia dan menjadi salah seorang pengkritik Kremlin yang paling lantang.

Beliau kini merupakan ketua parti pembangkang Kebebasan Rakyat, atau Parnas.

Kasyanov berkata Putin, bekas ejen KGB yang berusia 70 tahun pada Oktober, telah berjaya sejak 20 tahun lalu untuk membina sistem berdasarkan ketakutan.

“Ini adalah pencapaian sistem yang, dengan galakan Putin sebagai ketua negara, telah mula beroperasi walaupun dengan cara yang lebih sinis, kejam berbanding ketika penghujung Kesatuan Soviet,” katanya.

“Pada asasnya, ini adalah sistem KGB berdasarkan pelanggaran undang-undang sepenuhnya. Jelas sekali mereka tidak jangka sebarang hukuman.”

Kasyanov berkata beliau telah meninggalkan Rusia kerana perang dan menetap di Eropah namun beliau enggan mendedahkan lokasinya kerana bimbang akan keselamatannya. – AFP, 13 Jun, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen