Putrajaya digesa pastikan bekalan ubat cukup di Sarawak, kata ahli Parlimen


KERAJAAN persekutuan perlu segera bertindak untuk pastikan bekalan ubat-ubatan di Sarawak mencukupi agar penjagaan kanak-kanak tidak terganggu, kata Dr Kelvin Yii.

Ahli Parlimen Bandar Kuching itu berkata demikian menjawab laporan sebuah klinik kanak-kanak di Miri yang mendakwa ia tidak dapat menjalankan terapi fizikal untuk kanak-kanak yang menghidap asma kerana kekurangan Ventolin dan ubat demam biasa, batuk dan selsema lain kerana kehabisan bekalan.

“Doktor klinik itu berkata seminggu lalu semua sumber ubat mereka dari farmasi tempatan sudah kehabisan stok - kali pertama ia menghadapi kekurangan ubat sejak 30 tahun,” kata Dr Yii dalam satu kenyataan hari ini.

Antara barangan yang telah habis termasuklah ventolin nebulas dan ventolin solutions untuk merawat asma.

“Berdasarkan laporan itu, ramai pakar pediatrik lain berdepan isu yang sama malah Timbalan Premier Dr Sim Kui Hian mengesahkan beberapa klinik swasta di bandar Miri sudah henti menerima pesakit selepas bekalan ubat mereka habis.

“Ini masalah serius jika tidak ditangani segera kerana pesakit kami akan terus menderita dan dalam senario terburuk mungkin membawa kepada akibat yang tidak diingini kerana ini boleh mengancam nyawa jika pesakit tidak dapat ubat yang diperlukan,” kata pemimpin DAP itu.

Beliau berkata isu itu diketengahkan bulan lalu dan beliau kemudian meminta Kementerian Kesihatan (KKM) campur tangan segera.

“Untuk jangka masa pendek KKM perlu buat audit menyeluruh dan kiraan stok farmaseutikal di kemudahan kesihatan awam dan swasta untuk fahami tahap kekurangan ubat negara.

“Bekalan sedemikian hendaklah diagihkan dengan betul ke seluruh negara berdasarkan keperluan agar dapat pastikan kawasan yang mempunyai keperluan tertinggi akan mendapat bekalan yang diperlukan.

“Satu mekanisme perkongsian swasta-awam untuk mengurangkan semua birokrasi yang diperlukan harus dibangunkan. Mungkin juga terdapat mekanisme di mana kemudahan awam boleh jual atau pinjamkan ubat untuk kepada sektor swasta sehingga mereka dapat bekalan,” kata Dr Yii. – 13 Jun, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen