Pakatan akan bertemu PM bincang RUU Anti Lompat Parti


Elill Easwaran

Pakatan Harapan akan bertemu dengan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob bagi membincangkan RUU anti lompat parti. – Gambar fail The Malaysian Insight, 13 Jun, 2022.

PAKATAN Harapan akan bertemu dengan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob bagi membincangkan Rang Undang-Undang (RUU) anti lompat parti.

Dalam satu kenyataan hari ini Majlis Presiden Pakatan Harapan melahirkan rasa kecewa terhadap kegagalan kerajaan mengadakan sidang khas Dewan Rakyat khusus bagi membentangkan RUU anti lompat parti.

“Walaupun begitu, Pakatan Harapan berharap RUU tersebut akan dapat dibentang, dibahas dan diluluskan pada minggu pertama sidang Dewan Rakyat yang bermula 18 Julai ini,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu ditandatangani oleh Presiden PKR Anwar Ibrahim, Setiausaha Agung DAP Anthony Loke Siew Fook, Presiden Amanah Mohamad Sabu and Presiden Upko Madius Tangau.

Minggu lepas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata tidak akan ada sidang Parlimen khas untuk membentangkan RUU anti lompat parti dan pindaan Perlembagaan Persekutuan.

Menteri itu berkata perdana menteri menolak cadangan untuk mengadakan mesyuarat khas itu.

“Perdana menteri memutuskan tidak perlu menadakan sidang khas kerana ia akan menanggung kos tambahan bagi mendapatkan ahli Parlimen menghadiri persidangan yang dianggarkan melebihi RM1 juta,” katanya.

Pakatan Harapan juga berkata mereka akan membincangkan tiga perkara lain dengan perdana menteri iaitu menetapkan had dua penggal atau 10 tahun bagi Perdana Menteri, membentang RUU Perkhidmatan Parlimen dan meminda Peraturan-Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat.

Mereka berkata ini adalah tiga perkara yang perlu dibincangkan dari 18 Perkara dalam Memorandum Persefahaman (MOU) antara Pakatan Harapan dan kerajaan Persekutuan. – 13 Jun, 2022.              


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen