37 pendatang maut tahun ini ketika melintasi sempadan AS-Mexico


Setiap tahun ratusan ribu pendatang yang ingin memasuki AS melakukan perjalanan dari Amerika Selatan dan Amerika Tengah melalui Mexico. – Gambar EPA, 13 Jun, 2022.

SEKURANG-KURANGNYA 37 pendatang asing tanpa izin yang melalui Mexico meninggal dunia setakat tahun ini yang mana kebanyakannya lemas ketika cuba menyeberangi Rio Grande ke Amerika Syarikat, lapor kerajaan Mexico semalam.

Institut Migrasi Negara (INM) dalam satu kenyataan akhbar berkata seramai empat pendatang meninggal dunia akibat pelbagai sebab di Veracruz dan Baja, 33 lemas akibat arus deras, kedalaman dan suhu rendah Rio Bravo (Grande) yang merupakan sempadan Mexico-AS.

Kenyataan itu menambah 22 daripada pendatang tidak membawa pengenalan diri manakala yang lain dari Mexico, Nicaragua, Honduras, Guatemala, Cuba, Peru dan Venezuela.

Ketika dihubung AFP INM berkata mereka sudah menghantar pulang 11 mayat pendatang yang dikenal pasti tetapi tidak menyatakan di mana mayat 22 yang lain berada atau memberikan butiran tentang umur dan jantina mereka.

Laporan mengenai kematian migran dari Januari hingga Mei dibuat beberapa hari selepas penutupan Sidang Kemuncak Kesembilan Amerika yang dianjurkan oleh AS di Los Angeles di mana imigresen menjadi topik utama.

Pada hari terakhir perhimpunan itu Presiden AS Joe Biden mengetuai ikrar 20 negara untuk menyokong keselamatan dan maruah semua pendatang.

Ikrar juga dibuat apabila beribu-ribu pendatang melarikan diri dari kemiskinan, keganasan dan penindasan politik membuat perjalanan dari selatan Mexico menuju ke sempadan AS.

Setiap tahun ratusan ribu pendatang yang ingin memasuki AS melakukan perjalanan dari Amerika Selatan dan Amerika Tengah melalui Mexico tetapi dalam beberapa tahun kebelakangan ini negara itu telah meningkatkan kawalan sempadannya dan pada 2021 menahan lebih 300,000 pendatang tanpa izin. – Bernama, 13 Jun, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen