PM mahu eskalator, pagar automatik CIQ Johor dibaiki segera


Ismail membuat tinjauan mengejut ke CIQ Bangunan Sultan Iskandar di Johor, hari ini. – Gambar Facebook, 12 Jun, 2022.

PERDANA Menteri Ismail Sabri Yaakob mahu kerosakan eskalator serta pagar automatik untuk pemegang pasport Malaysia di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar, Johor diperbaiki segera.

Beliau berkata demikian selepas melakukan tinjauan mengejut di kompleks CIQ bersama dengan Menteri Besar Johor Onn Hafiz Ghazi tengah hari tadi.

Menurut Ismail Sabri kekurangan itu perlu diselesaikan segera untuk kemudahan Keluarga Malaysia dan pengembara dari luar kerana ia merupakan antara pintu masuk utama negara.

“Kompleks ini sudah kembali pulih selepas sempadan negara dibuka semula sepenuhnya. Saya mendapati kemudahan-kemudahan termasuk pengangkutan awam dalam keadaan baik kecuali kerosakan eskalator dan pagar automatik untuk pemegang pasport Malaysia,” katanya menerusi catatan di Facebook rasmi beliau hari ini.

Terdahulu Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar berkenan menerima menghadap Ismail Sabri di Istana Bukit Serene di Johor Bahru.

Berangkat sama Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim. Turut hadir Onn Hafiz dan Setiausaha Kerajaan Negeri Johor Azmi Rohani. 

Ismail Sabri turut diraikan dalam satu majlis santapan tengah hari bersama Sultan Ibrahim.  – Bernama, 12 Jun, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen