Sri Lanka umum kuota bahan api mingguan


Sri Lanka sedang bergelut dengan krisis ekonomi terburuk sejak beberapa dekad, dengan negara itu tidak dapat mengimport keperluan asas seperti makanan, bahan api dan ubat-ubatan kerana kekurangan rizab pertukaran asing. – Gambar EPA, 12 Jun, 2022.

SRI LANKA pada Ahad mengumumkan kuota bahan api mingguan untuk pemandu berikutan kekurangan bekalan semakin bertambah buruk selain pengguna terpaksa panjang di luar stesen minyak.

Menteri Tenaga Kanchana Wijesekera berkata Ceylon Petroleum Corporation yang dikendalikan kerajaan sedang bergelut untuk membiayai import minyak, manakala penggunaan meningkat disebabkan kekurangan bekalan elektrik dan gas petroleum cecair.

“Kami tiada pilihan selain mendaftarkan pengguna di stesen pengisian dan memberi mereka kuota mingguan sehingga kami dapat kukuhkan kewangan,” kata menteri itu.

“Saya harap sistem ini dapat dilaksanakan menjelang minggu pertama bulan Julai.”

Beliau tidak menyatakan berapa banyak bahan api yang dibenarkan oleh pemandu kenderaan di bawah sistem baharu tersebut.

Sri Lanka sedang bergelut dengan krisis ekonomi terburuk sejak beberapa dekad, dengan negara itu tidak dapat mengimport keperluan asas seperti makanan, bahan api dan ubat-ubatan kerana kekurangan rizab pertukaran asing.

Pada pertengahan April lalu, kerajaan mengarahkan semua stesen minyak tidak mengepam lebih daripada empat liter petrol untuk motosikal, lima untuk tiga roda dan 19.5 liter petrol atau diesel untuk kereta dan SUV.

Di bawah sistem itu, ramai pemandu perlu menambah nilai, simpan minyak dalam tin untuk stok, dan kemudian kembali bergilir untuk dapatkan lebih banyak lagi.

Minggu ini, barisan di stesen minyak menjadi lebih panjang, dengan beratus-ratus kereta dan beribu-ribu motosikal menunggu dalam barisan, kadang-kadang berhari-hari.

Dua minggu lepas, Sri Lanka menerima penghantaran minyak mentah Rusia untuk ditapis di pulau itu, tetapi produk siap dari kilang penapisan Sapugaskanda kurang daripada sepersepuluh daripada keperluan harian negara.

Kira-kira 90,000 tan minyak mentah Siberia dihantar ke kilang penapisan tunggal Sri Lanka selepas penghantaran itu diperoleh secara kredit daripada perantara Coral Energy yang berpangkalan di Dubai bulan lepas.

Kerajaan Sri Lanka juga telah menghubungi utusan Moscow di Colombo untuk membantu mendapatkan bekalan terus minyak Rusia, kata Menteri Tenaga Wijesekera.

Sri Lanka gagal membayar hutang asingnya yang berjumlah AS$51 bilion pada pertengahan April dan sejak itu telah membuka rundingan dengan Tabung Kewangan Antarabangsa.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu telah mengeluarkan permohonan bantuan sebanyak AS$47 juta untuk membeli makanan penting buat 1.7 juta rakyat Sri Lanka dalam tempoh empat bulan akan datang.

Krisis ekonomi terburuk sejak negara mencapai kemerdekaan pada 1948 telah mencetuskan protes meluas yang menggesa Presiden Gotabaya Rajapaksa berundur.

Bagaimanapun beliau menolak, malah sebaliknya meminta abangnya Mahinda meletakkan jawatan sebagai perdana menteri pada 9 Mei.

Presiden Rajapaksa kemudian melantik ahli politik pembangkang Ranil Wickremesinghe untuk menggantikan Mahinda dan membantu memimpin negara keluar daripada kekacauan ekonomi yang belum pernah berlaku sebelum ini. – AFP, 12 Jun, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen