Penduduk Puchong bantah taman permainan jadi parkir


Elill Easwaran

Penduduk Taman Puchong Intan mengecam tindakan pihak berkausa dan pemaju yang mengambil alih taman permainan mereka untuk dijadikan kawasan tempat letak kereta.– Gambar The Malaysian Insight, 12 Jun, 2022

PENDUDUK Puchong mendesak pihak berkuasa menghentikan projek pembangunan yang bakal memusnahkan taman permainan mereka.

Warga Taman Puchong Intan berkata kerja pembinaan itu akan menukar satu-satunya taman permainan mereka kepada tempat letak kereta.

Bercakap kepada The Malaysian Insight, penduduk mendakwa pihak berkuasa hanya memekakkan telinga apabila mereka membuat rayuan. Dakwa mereka, meskipun beberapa laporan polis telah dibuat terhadap pemaju namun masih tiada maklum balas.

Pagi ini, penduduk akhirnya mengetengahkan perkara itu kepada pihak media. 

Wakilnya, Deva Varman, 40 berkata  Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) dan wakil-wakil yang telah dilantik juga gagal membantu mereka.

“Kami minta MBSJ tunjukkan dokumen hitam putih kebenaran pembangunan ini tapi mereka tidak tunjuk jadi kami tiada pilihan lain selain buat laporan polis,” katanya.

Bersempadan dengan taman permainan di Jalan Intan 2, Taman Puchong Intan Fasa Satu itu adalah Apartmen Puchong Intan 10 tingkat dan Kuil Sri Naga Nageswari Alayam.

Bertentangan dengan kawasan taman yang memiliki buaian dan papan gelongsor untuk kanak-kanak itu terdapat deretan 378 rumah teres setingkat, 240 unit rumah kedai dan Surau An-Nur.

Menurut Deva, penduduk tidak pasti sama ada pihak berkuasa memberi kebenaran untuk membina kawasan tempat letak kereta di situ. 

Sementara seorang penduduk, Shelarajoo Sabathy, 61 berkata mereka bukan menuntut sebarang pampasan sebaliknya hanya mahukan taman permainan itu kekal di situ.

“Kami mahu taman ini kekal di sini dan tidak dibangunkan menjadi benda lain. Hanya ini tempat untuk anak-anak kami meluangkan masa pada waktu petang memandangkan tak banyak aktiviti boleh dibuat di kawasan sekitar.

“Kami tidak menerima sebarang notis daripada MBSJ tapi kontraktor telah mula memotong pokok dan memusnahklan peralatan permainan di sini,” katanya. – 12 Jun, 2022.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen