MALAYSIA akan membangkitkan isu di Myanmar pada Mesyuarat Khas Menteri Luar ASEAN-India yang dijadualkan berlangsung pada 16 dan 17 Jun di New Delhi, kata Menteri Luar Saifuddin Abdullah.
Beliau berkata antara perkara yang akan diketengahkan ketika mesyuarat tidak rasmi bersama menteri luar yang lain ialah melibatkan Konsensus Lima Perkara termasuk bantuan kemanusiaan di Myanmar.
“Saya akan mencadangkan supaya menteri-menteri luar ASEAN memikirkan secara serius dan mendalam kaedah baharu serta kreatif yang boleh dilakukan bagi selesaikan masalah di Myanmar. Antaranya cara untuk laksanakan Konsensus Lima Perkara sepenuhnya kerana ia bersifat umum, kita mesti perincikan dan ada pelan hala tuju yang jelas.
“Seterusnya, kita kena nilai sama ada ASEAN mampu laksanakan atau tidak? Kalau nak minta tolong dengan siapa (negara-negara lain) kita kena tentukan…ada negara-negara dialog jadi kita pilih nak minta bantuan negara mana,” katanya pada sidang media Kuantan hari ini.
Beliau ditemui selepas merasmikan Kursus Asas Bahasa Isyarat Unit Orang Kurang Upaya (OKU) Pusat Khidmat Parlimen Indera Mahkota dan Penyerahan Sumbangan kepada Jemaah Haji.
Ahli Parlimen Indera Mahkota itu berkata beliau juga akan mengetengahkan isu bantuan kemanusiaan di negara itu agar ia disampaikan secara adil, saksama dan tanpa diskriminasi.
Menurutnya isu di Myanmar serius dan perlu segera diselesaikan kerana jumlah pelarian serta kematian makin bertambah.
“Kita telah tegaskan pada Myanmar bahawa isu berlaku di sana bukan lagi isu dalaman kerana rakyat mereka sudah lari dan sudah mula membebankan orang lain. Seramai 1.2 juta berada di Bangladesh dan kira-kira 150,000 di Malaysia. Jumlah itu bukan angka yang tetap,” jelasnya.
Saifuddin turut memaklumkan beberapa negara sudah menyatakan kesediaan untuk menggandakan pengambilan pelarian Myanmar yang berada di negara ini.
“Pengambilan mereka sebelum ini terganggu disebabkan Covid-19 dan terdapat satu dua negara besar yang sanggup ambil pelarian berkenaan sekali ganda berbanding tahun sebelum Covid-19,” katanya tanpa mendedahkan negara terlibat.
Ketika diminta mengulas mengenai kemungkinan lebih 1,000 mangsa yang terpedaya dengan sindiket penipuan tawaran kerja ke luar negara, Saifuddin berkata beliau tidak dapat mengesahkan jumlah berkenaan dan menasihatkan agar rakyat Malaysia sentiasa berwaspada dengan tawaran kerja di luar negara.
Baru-baru ini, Ketua Biro Aduan dan Perkhidmatan Awam MCA Micheal Chong dilaporkan berkata pihaknya menganggarkan kemungkinan lebih 1,000 mangsa yang terpedaya dengan sindiket penipuan dan telah diseludup ke luar negara. – Bernama, 12 Jun, 2022.
Komen