7 maut nahas helikopter di Itali


Pasukan Tentera Udara Itali menjalankan operasi mencari helikopter yang hilang di Tuscan-Emilian Apennines di Pavullo, Modena, Itali, pada 11 Jun 2022. – Gambar Facebook, 12 Jun, 2022.

SEBUAH helikopter yang hilang daripada radar trafik udara pada Khamis ditemukan dan kesemua tujuh penumpang disahkan terkorban, menurut pihak berkuasa Itali pada Sabtu.

Seorang pengembara yang melalui kawasan berhampiran Monte Cusna—sebuah gunung di wilayah tengah Itali Emilia Romagna berhampiran sempadan dengan Tuscany—menghubungi pihak berkuasa selepas menemui serpihan bangkai pesawat itu, lapor Xinhua.

Menurut laporan, seorang juruterbang, seorang warga Itali, termasuk empat warga Turki dan dua rakyat Lubnan terkorban dalam nahas itu.

Pihak berkuasa Itali menjalankan operasi mencari bagi mengesan helikopter dan penumpangnya sejak Khamis.

Helikopter itu dilaporkan hilang ketika dalam perjalanan dari bandar Tuscan Lucca ke Treviso, sebuah bandar yang terletak di utara Venice.

Pegawai Itali masih belum mengeluarkan kenyataan rasmi mengenai punca nahas.

Pihak berkuasa tempatan berjaya menemukan lima mayat pada Sabtu. Beberapa jam kemudian, dua lagi mayat ditemukan. – Bernama, 12 Jun, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen