Bekas Yang Dipertua Dewan Negara meninggal dunia


Abang Ahmad Urai Datu Abang Mohideen merupakan Yang Dipertua Dewan Negara dari 1988 hingga 1990. – Gambar Facebook, 12 Jun, 2022.

BEKAS Yang Dipertua Dewan Negara Abang Ahmad Urai Datu Abang Mohideen meninggal dunia di Pusat Perubatan Normah Sarawak di Petra Jaya di Kuching, kira-kira 12.30 tengah malam tadi.

Berita kematian tersebut disahkan pembantu peribadi Allahyarham ketika dihubungi hari ini.

“Tan Sri (Abang Ahmad Urai) dikejarkan ke Pusat Perubatan Normah selepas rebah ketika menghadiri satu acara di sebuah hotel (di Kuching). Beliau meninggal dunia pada 12.30 tengah malam tadi. 

“Jenazah Allahyarham akan dibawa ke kediamannya di Jalan Muda Hashim pagi ini,” katanya.

Allahyarham akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Umat Islam Masjid Bahagian di Kuching, selepas Zohor.

Abang Ahmad Urai, 89, merupakan Yang Dipertua Dewan Negara dari 1988 hingga 1990.

Allahyarham juga pernah memegang jawatan timbalan menteri kebudayaan, belia dan sukan Sarawak.

Sementara itu Premier Sarawak Abang Johari Openg menyifatkan Abang Ahmad Urai sebagai seorang yang banyak berjasa dalam arena politik Sarawak.

Beliau berkata allahyarham telah terlibat dalam politik sebelum kemerdekaan dan turut menyumbang jasanya dalam parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB).

“Sudah tentu PBB kehilangan pemimpin yang mempunyai banyak pengalaman, dan secara peribadi saya kehilangan seorang ayah saudara (Allahyarham Tan Sri). Beliau di antara  generasi tua yang banyak memberi nasihat kepada kita generasi muda dalam sudut bagaimana hendak berkhidmat dengan masyarakat,” katanya.

Beliau yang juga presiden PBB berkata demikian semasa menghadiri majlis Rumah Terbuka Gawai di Dewan Suarah Bau di Kuching, hari ini. – Bernama, 12 Jun, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen