AMERIKA Syarikat (AS) pada Jumaat mengumumkan yang ujian Covid-19 tidak lagi diperlukan untuk pelancong antarabangsa yang tiba melalui udara, satu langkah besar dalam penarikan beransur-ansur sekatan pandemik negara itu.
Penolong Setiausaha Akhbar Rumah Putih Kevin Munoz mengesahkan berita itu di Twitter, dengan media AS berkata langkah itu akan berakhir hujung minggu ini selepas desakan daripada industri pelancongan.
Semua penumpang perlu menunjukkan ujian virus Covid negatif yang diambil sejurus sebelum perjalanan—atau bukti sembuh daripada virus itu dalam tempoh 90 hari—sebelum menaiki penerbangan.
Munoz berkata usaha Presiden Joe Biden mengenai vaksin dan rawatan adalah “kritikal” bagi melonggarkan sekatan perjalanan, dan menambah Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit akan terus menilai data Covid ketika peningkatan kes baru-baru ini.
Bulan lalu, AS melepasi ambang sejuta kematian akibat Covid, dengan Biden mengakui kesedihan keluarga yang berduka, dan menggesa rakyat Amerika untuk terus berwaspada.
“Kami percaya sudah membuat kemajuan yang diperlukan dalam menyediakan protokol Covid yang membolehkan kami menarik balik keperluan ini,” kata penasihat ekonomi presiden Brian Deese kepada CNBC.
“Saya fikir itu akan menjadi berita baik untuk perjalanan perniagaan, perdagangan dan syarikat Amerika juga.”
Banyak arahan pemakaian pelitup muka di seluruh AS turut ditarik balik, tetapi negara itu baru-baru ini menyaksikan peningkatan dalam jumlah harian kes virus, sebahagian besarnya disebabkan oleh subvarian Omicron baharu.
Kira-kira 300 orang mati setiap hari di negara ini akibat Covid, turun daripada lonjakan terbaru pada Februari, apabila purata harian melonjak kepada 2,700.
Vaksin percuma dan tersedia secara meluas, tetapi kadar pengambilan berbeza antara negeri.
Di seluruh negara, 66.7% daripada populasi diberi vaksin sepenuhnya, meningkat kepada 91.2% bagi mereka yang berumur 65 tahun ke atas.
Dengan ekonomi AS dilanda inflasi, sektor pelancongan menyambut baik langkah itu.
“Industri penerbangan menghargai keputusan pentadbiran menarik balik keperluan ujian pra-berlepas selaras dengan persekitaran epidemiologi semasa,” kata persekutuan industri Airlines 4 America dalam satu kenyataan.
“Penarikan dasar ini akan membantu menggalakkan dan memulihkan perjalanan udara ke AS… Kami tidak sabar-sabar untuk mengalu-alukan berjuta-juta pengembara yang ada datang ke AS untuk bercuti, perniagaan dan pertemuan semula dengan insan tersayang.” – AFP, 12 Jun, 2022.
Komen