LETUPAN bom ke atas sebuah bas mini membunuh sekurang-kurangnya empat mangsa dan mencederakan beberapa yang lain di ibu negara Afghanistan pada Sabtu, kata polis.
Letupan di daerah timur Kabul adalah yang terbaru dalam beberapa siri serangan maut yang menggegarkan Afghanistan beberapa bulan kebelakangan ini, kurang setahun sejak pengambilalihan Taliban.
Sepasukan anggota keselamatan Taliban dikerahkan ke kawasan itu untuk menyiasat pengeboman itu, kata jurucakap polis Khalid Zadran kepada AFP.
Tiada mana-mana pihak setakat ini mengaku bertanggungjawab atas pengeboman yang berlaku di daerah didiami ramai ahli masyarakat Sunni Pashtun.
Walaupun jumlah pengeboman menurun di seluruh negara sejak Taliban merampas kuasa pada Ogos, serangan kembali meningkat baru-baru ini.
Puluhan orang awam terbunuh di Kabul dan bandar lain semasa Ramadan, dengan beberapa didakwa oleh kumpulan militan Isis.
Kebanyakan serangan itu menyasarkan golongan Hazara dan Sufi Syiah.
Beberapa pengeboman melibatkan bas mini yang membawa penumpang dari pejabat atau pasar ke rumah mereka.
Tetapi serangan paling banyak melibatkan kematian berlaku semasa Ramadan di bandar utara Kunduz, di mana bom menyasarkan penganut Sufi di sebuah masjid pada 22 April.
Sekurang-kurangnya 33 orang terbunuh dalam letupan itu dan ramai lagi yang cedera. – AFP, 12 Jun, 2022.
Komen