Pejuang sukar bertanding PRU15 tanpa rakan politik, kata penganalisis


Ravin Palanisamy

Pejuang, parti yang baharu berusia dua tahun itu, tidak mempunyai kekuatan untuk bertanding PRU15 tanpa rakan kerjasama politik, kata penganalisis. – Gambar fail The Malaysian Insight, 12 Jun, 2022.

PARTI Pejuang Tanah Air (Pejuang) akan berdepan kesukaran jika memutuskan untuk bersendiri tanpa kerjasama rasmi dengan mana-mana gabungan politik pada pilihan raya umum (PRU) akan datang, kata pakar politik.

Menurut mereka, parti Dr Mahathir Mohamad yang baharu berusia dua tahun itu masih tidak dapat memikat pengundi sekalipun mereka bekerjasama dengan kumpulan profesional dan sivil Melayu.

James Chin dari Institut Asia Universiti Tasmania berkata peluang Pejuang untuk menang beberapa kerusi pada pilihan raya akan datang sangat rendah, walaupun mereka membentuk “kuasa pembangkang ketiga”.

Merujuk kepada prestasi buruk Pejuang pada Pilihan Raya Negeri Johor lepas, Chin berkata ia boleh mengulangi kegagalan itu pada PRU akan datang jika ia diadakan tahun ini.

“Saya akan terkejut jika Pejuang boleh menang lebih dua kerusi jika pilihan raya diadakan tahun ini.

“Walaupun mereka membentuk kuasa ketiga, ia akan mengulangi (kegagalan di) Johor, apabila semua calon mereka dikalahkan,” kata Chin kepada The Malaysian Insight.

Minggu lepas, selepas pertemuan dengan pesara guru dan pasukan angkatan bersenjata, Pengerusi Pejuang Dr Mahathir berkata ia bersedia membuka pintu kerjasama dengan kumpulan profesional dan sivil Melayu.

Pejuang kalah teruk pada PRN Johor, semua calonnya tewas dan hilang duit deposit bertanding. – Gambar fail The Malaysian Insight, 12 Jun, 2022.

Pejuang masuk gelanggang PRN Johor bersendirian pada Mac lepas, tewas di semua 42 kerusi ditandinginginya. Semua calonnya juga hilang wang deposit bertanding.

Tambah Chin lagi, Pejuang buat masa sekarang nampaknya tidak ada jalan keluar kerana mereka mempunyai masalah dengan gabungan politik utama di negara ini.

Jelasnya, kerjasama dengan kumpulan sivil tidak akan membantu menaikkan peluang Pejuang untuk menang pilihan raya.

“Pada pandangan saya, pilihan Pejuang sangat terhad. Mereka tidak boleh kembali kepada Umno kerana Dr Mahathir sudah buat pendirian jelas yang selagi mana Umno di bawah Najib (Razak), yang dianggapnya sebagai perompak, ia (kerjasama) tidak mungkin berlaku.

“(Pejuang juga) tidak boleh balik kepada Pakatan Harapan sebab mereka sudah berpatah arang berkerat rotan dan pemimpin kanan dalam gabungan itu menyalahkan Dr Mahathir kerana tumbangnya kerajaan (PH) pada 2020.

“Jadi, menyertai kumpulan sivil dan yang lain tidak akan banyak membantu sebabnya mereka tidak mampu menggerakkan kempen pilihan raya.

“Mereka bagus dalam mengendalikan isu tertentu tetapi pilihan raya sangat berbeza,” katanya.

Hubungan Pejuang diterajui Dr Mahathir Mohamad dan Pakatan Harapan dikemudi Anwar Ibrahim pula seperti berpatah arang, berkerat rotan, memadamkan kemungkinan kerjasama. – Gambar fail The Malaysian Insight, 12 Jun, 2022.

Sementara itu, Tunku Mohar Tunku Mohd Mokhtar dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia juga bersetuju dengan pandangan Pejuang tidak berpeluang menang besar tanpa kerjasama politik.  

Katanya, parti itu hanya mempunyai peluang lebih baik jika mereka mampu bekerjasama dengan gabungan politik sedia ada.

“Jika Pejuang boleh menyertai mana-mana gabungan (politik) sedia ada, peluang untuk mendapat sokongan lebih meluas akan lebih tinggi.

“Menyertai gabungan adalah strategi lebih baik berbanding bertanding sendirian. Mereka (Pejuang) tidak ramai ahli untuk mencabar parti sedia ada.

“Malah parti lebih besar juga perlukan rakan gabungan untuk menaikkan peluang (menang) mereka,” kata penganalisis politik itu.

Tunku Mohar berkata sukar untuk bekerjasama dengan hanya kumpulan sivil dan individu pada pilihan raya akan datang.

Beliau bagaimanapun, mempersoalkan gabungan mana yang akan menerima Pejuang sebagai rakan mereka.

“Susah untuk bayangkan kumpulan sivil atau individu berpengaruh mampu menggerakkan pengundi pada pilihan raya umum.

“Pilihan terbaik adalah untuk menyertai gabungan (politik) tetapi soalnya siapa yang akan terima Pejuang,” katanya.

Faktor Dr Mahathir sudah hilang pengaruh

“Faktor Dr Mahathir” juga, kata Chin, sudah tidak lagi relevan dalam persekitaran politik semasa walaupun politikus veteran itu pernah menjadi perdana menteri dua kali.

“Ramai orang rasa Dr Mahathir sudah hilang pengaruh, terutama sekali dalam kalangan pengundi Melayu luar bandar.

“Jadi, susah untuk guna namanya dan menang beberapa kerusi pada pilihan raya akan datang,” tambahnya lagi, orang ramai juga berfikir banyak kali hendak menyertai Pejuang.

Faktor Dr Mahathir yang penting ketika PRU14 lalu, kini sudah hilang pengaruh. – Gambar fail The Malaysian Insight, 12 Jun, 2022.

Menyifatkan Pejuang sebagai parti Dr Mahathir dan pengikut setianya, Chin malah meramalkan yang parti itu akan tumbang jika bekas perdana menteri itu sudah tidak menerajuinya.

“Dr Mahathir makin tua. Saya rasa jika dia sudah tidak ada, parti itu besar kemungkinan akan tumbang sekali.”  

Felo Kanan Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura Oh Ei Seun pula berkata Pejuang boleh memainkan peranan sebagai “pengacau” pada pilihan raya umum akan datang.

Katanya, ada parti dan gabungan politik tidak mahu bekerjasama dengan Pejuang disebabkan Dr Mahathir.

“Pejuang besar kemungkinan berperanan sebagai pengacau dalam pilihan raya akan datang.

“Parti atau gabungan yang mencetuskan kemarahan pengerusinya (Dr Mahathir) dan dikecam olehnya, mungkin undi orang Melayu akan berkurangan sedikit.

“Dalam zaman sekarang bila mana setiap undi penting, ia boleh menjadi faktor penentu untuk mereka menang kerusi tambahan. Jadi kebanyakan parti atau gabungan politik tidak mampu (berdepan) dengan kemarahan itu, terutama sekali daripada pengerusi Pejuang,” kata Oh.

Dr Mahathir sudah mengesahkan yang beliau tidak akan mempertahankan kerusinya di Langkawi pada pilihan raya umum akan datang. – 12 Jun, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen