MELULUSKAN akta baharu akan membolehkan kerajaan membatalkan semua peruntukan hukuman mati mandatori sekali harung, kata pakar perundangan.
Kata mereka, ini boleh dilakukan seawal persidangan Parlimen akan datang.
Peguam Haniff Khatri Abdulla berkata ini adalah cara paling berkesan untuk menghapuskan semua peruntukan hukuman mati dalam pelbagai akta menerusi tindakan di Parlimen.
“Apa yang mereka perlu buat untuk mansuhkan hukuman mati mandatori (dalam) akta adalah dengan meluluskan akta ringkas di persidangan Parlimen akan datang,” katanya.
“Mereka perlu sertakan definisi, untuk apa dan memasukkan semua peruntukan diperlukan dalam akta tersebut bagi memansuhkan hukuman dan memberikan budi bicara untuk mahkamah mengenakan hukuman yang diperlukan.
“Ini (akta baharu) ini akan mengatasi semua undang-undang sedia ada.”
Pada masa sekarang, terdapat 1,359 banduan sedang menunggu pelaksanaan hukuman mati dan 12 kesalahan termasuk Akta Dadah Berbahaya dan Kanun Keseksaan yang membenarkan mahkamah menjatuhkan hukuman mati mandatori.
Selain itu, tambah Haniff, kerajaan juga boleh meneliti setiap peruntukan dan membuat pindaan yang diperlukan.
Pada Jumaat, kerajaan mengumumkan ia bersetuju untuk memansuhkan hukuman mati mandatori, sebaliknya memberikan kuasa budi bicara kepada mahkamah untuk menjatuhkan hukuman bersesuaian.
Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob berkata hukuman mati masih kekal, tetapi istilah “mandatori” akan dihapuskan.
Katanya, hakim tidak lagi terikat dengan istilah itu, yang sebelum ini memaksa mereka mengenakan hukuman mati untuk semua kesalahan yang mempunyai peruntukan tersebut, seperti pengedaran dadah.
Haniff bagaimanapun memberi amaran risiko memansuhkan kesemua hukuman mati.
Beliau merujuk kejadian kes rogol berkumpulan dan bunuh Delhi Nirbhaya yang menyebabkan India memperkenalkan semula hukuman mati selepas protes besar-besaran berlaku di negara itu.
“Keganasan juga sedang bertambah, anda tak tahu bila anda perlu gunakan hukuman mati.
“Kita tak mahu buat satu lagi pindaan nanti (untuk memperkenalkan semula hukuman mati). Kita perlu sedar (perkara ini),” katanya. – 11 Jun, 2022.
Komen