KANADA menangguhkan ujian Covid-19 secara rawak di lapangan terbang sehingga akhir Jun dalam usaha untuk mengurangkan masalah kelewatan yang dihadapi pelancong dalam beberapa minggu kebelakangan ini, kata kerajaan semalam.
Ujian itu akan ditangguhkan mulai Sabtu dan akan disambung pada 1 Julai, menurut satu kenyataan kerajaan.
“Kita terus bekerjasama dengan lapangan terbang, syarikat penerbangan, pengendali bagasi dan rakan kongsi lain untuk melaksanakan penyelesaian bagi mengurangkan kelewatan ketika kita menghampiri kemuncak musim panas,” katanya.
Ramai pegawai penerbangan bersuara membantah pelaksanaan ujian itu dalam beberapa minggu kebelakangan ini dan berkata ia membuang masa menunggu di lapangan terbang lebih-lebih lagi apabila mereka berdepan kekurangan kakitangan.
Di Toronto seperti di Montreal penumapng mengambil masa beberapa jam untuk meninggalkan lapangan terbang. Kekurangan tenaga kerja di seluruh negara semakin memburuk baru-baru ini dan menjejaskan semua sektor.
Ramai penumpang menggunakan media sosial sejak kebelakangan ini bagi berkongsi rasa tidak puas hati apabila terperangkap dalam pesawat selepas mendarat sebelum dibenarkan turut selain perlu beratur panjang ketika bagasi diperiksa.
Syarikat penerbangan utama negara Air Canada mengakui berdepan masalah ini.
Jurucakap Air Canada Peter Fitzpatrick memberitahu media bahawa kelewatan dalam keselamatan dan kastam yang berlanjutan baru-baru ini memaksa syarikat penerbangan membatalkan beberapa penerbangan.
Kerajaan berjanji untuk terus menggaji pegawai penyaringan di lapangan terbang. Kenyataan semalam berkata seramai 865 orang menyertai barisan keselamatan pengangkutan udara sejak April. – AFP, 11 Jun, 2022.
Komen