POLIS India menembak mati dua penunjuk perasaan dan menahan lebih 130 orang dalam protes jalanan dicetuskan kenyataan rasmi parti pemerintah mengenai Nabi Muhammad, kata pihak berkuasa kepada AFP hari ini.
Protes besar-besaran tercetus di beberapa buah negara Islam sejak minggu lepas, apabila seorang jurucakap kepada parti Perdana Menteri Narendra Modi mengulas hubungan antara Nabi Muhammad dan isteri paling mudanya dalam sebuah rancangan televisyen.
Di India dan beberapa negara jiran, penganut Islam turun ke jalanan secara besar-besaran selepas Solat Jumaat semalam mengecam kenyataan itu, dengan polis melepaskan tembakan kepada khalayak di bandar Ranchi.
“Polis terpaksa melepaskan tembakan untuk menyuraikan penunjuk perasaan, menyebabkan dua orang maut,” kata seorang pegawai polis Ranchi kepada AFP.
Pihak berkuasa berkata penunjuk perasaan mengabaikan arahan supaya tidak berarak dari masjid ke pasar, melontar botol kaca dan batu apabila polis cuba menyuraikan protes itu.
Pihak berkuasa juga memotong rangkaian internet dan menguatkuasakan perintah berkurung di kawasan itu.
Polis di Uttar Pradesh pula melepaskan gas pemedih mata untuk menyuraikan penunjuk perasaan selepas beberapa protes awam berlaku di negeri itu.
Protes awam turut berlaku di beberapa negeri lain di India pada Jumaat, dengan penunjuk perasaan membakar gambar Nupur Sharma- jurucakap Parti Bharatiya Janata (BJP) yang mengeluarkan kenyataan dianggap menghina Nabi Muhammad itu.
Kenyataan Sharma turut mencetuskan kekeruhan diplomatik, apabila sekurang-kurangnya 20 kerajaan memanggil duta India di negara masing-masing untuk memberi penjelasan.
Sejak mula berkuasa pada 2014, kerajaan Modi dan BJP dituduh mengamalkan dasar diskriminasi terhadap penganut Islam.
Kerajaannya meluluskan undang-undang kontroversi memberi kewarganegaraan terhadap pelarian di India, kecuali jika mereka yang beragama Islam, sementara negeri di bawah pentadbiran BJP meluluskan undang-undang menyukarkan penganut Islam berkahwin dengan pasangan bukan Islam.
Kenyataan Sharma menyebabkan pergolakan dalam BJP, dengan parti menggantung tugasnya dan mengeluarkan kenyataan mereka menghormati semua agama.
Pada Jumaat juga, protes turut berlaku di Bangladesh dengan lebih 100,000 orang turun mengecam kenyataan Sharma.
Sementara 5,000 orang turun melakukan protes di Lahore, Pakistan, menuntut kerajaan mereka bertindak ke atas India kerana kenyataan kontroversi itu. – AFP, 11 Jun, 2022.
Komen