Serangan di restoran China cetus semula wacana keganasan terhadap wanita


Kejadian keganasan terhadap wanita terbaru berlaku di China mencetuskan wacana awam mengenai hak wanita dan keganasan gender di negara itu. – Gambar AFP, 11 Jun, 2022.

SEMBILAN orang ditahan dalam serangan ganas terhadap sekumpulan wanita di sebuah restoran di China, kata polis hari ini, dalam kes yang mencetuskan kemarahan terhadap jenayah serangan seksual.

Rakaman yang tular dalam talian itu menunjukkan seorang lelaki meletakkan tangannya di belakang badan seorang wanita ketika dia sedang makan bersama dua rakannya di sebuah restoran di wilayah Hebei, China.

Selepas wanita itu menepis tangan lelaki itu, suspek mengheretnya keluar dari restoran sebelum membelasahnya di jalanan. Seorang lagi wanita turut terbaring dipukul suspek.

Rakaman itu mencetuskan semula wacana dalam talian mengenai serangan seksual dan keganasan gender di China yang mana perbincangan mengenai hak wanita semakin meluas walaupun wujud tekanan patriaki, sekatan interent dan kekurangan sokongan perundangan.

Aktivis berkata serangan domestic terus berleluasa dan kurang dilaporkan, manakala aktivis feminis sering kali diancam gangguan polis dan ditahan.

Penyelia internet China menyekat kata kunci berkaitan gerakan #MeToo selepas sekumpulan wanita menuduh seorang profesor universiti melakukan gangguan seksual pada 2018.

Polis di bandar Tangshan hari ini berkata mereka sudah menahan sembilan orang kerana disyaki terlibat dalam serangan ganas dan “mencetuskan masalah”, menambah yang “kes itu masih dalam siasatan lanjut”.

Dua wanita sedang dirawat di hospital kerana kejadian terbaru itu, kini berada “dalam keadaan stabil dan tidak merbahaya”, sementara dua lagi cedera ringan, kata pihak berkuasa pada Jumaat.

Tahun lepas, seorang lelaki dijatuhi hukuman mati kerana membunuh bekas isterinya yang sedang melakukan siaran langsung di media sosial, kes terbaru keganasan gender yang menggemparkan negara itu. – AFP, 11 Jun, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen