Felda bentang kertas cadangan bantu tangani krisis makanan


Felda ingin turut serta tangani krisis makanan selaras dengan hasrat kerajaan supaya syarikat berkaitan kerajaan turut sama membantu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 11 Jun, 2022.

LEMBAGA Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) akan membentangkan kertas cadangan untuk membantu menangani krisis makanan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Mustapa Mohamed.

Beliau berkata langkah tersebut selaras dengan hasrat kerajaan supaya syarikat berkaitan kerajaan (GLC) bersama-sama membantu menangani krisis makanan.

“Felda sudah mempunyai cadangan, insya-Allah saya akan bentangkan kepada Kabinet mengenai cadangan mereka (Felda) untuk membantu kerajaan dalam menangani krisis bekalan makanan khususnya dalam aspek menanam tanaman yang diperlukan untuk membuat makanan untuk haiwan ternakan.

“Kertas kerja sudah disediakan, ada beberapa perkara yang diberi tumpuan dalam isu ini,” katanya kepada Bernama selepas Majis Perasmian Mesin Juruwang Automatik (ATM) di Felda Kemahang 1, di Tanah Merah, hari ini.

Sementara itu, Mustapa yang juga ahli Parlimen Jeli berkata Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) sedang menjalankan kajian tentang modal pembangunan tanah Felda untuk membantu meningkatkan lagi prestasi agensi itu.

“Kajian ini penting bagi memastikan prestasi Felda dipertingkatkan lagi. Skop kajian ini melihat kepada bagaimana peneroka pelbagaikan pendapatan mereka,” katanya. – Bernama, 11 Jun, 2022.    


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen