PEMANSUHAN hukuman mati mandatori bertujuan mengurangkan hukuman berat dijatuhkan mahkamah dan bagi menambah baik sistem keadilan, kata Wan Junaidi Tuanku Jaafar.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu berkata kerajaan tidak menambah lagi berat hukuman seperti dilakukan 40 tahun lalu.
“Setiap kali kita pinda undang-undang, kita akan menambah berat hukuman itu.
“Dalam kes ini, kita mengurangkan kerasnya hukuman itu, dan terpulang kepada budi bicara mahkamah untuk menjatuhkan hukuman mati atau tidak,” katanya dipetik berkata kepada The Star.
Wan Junaidi semalam berkata kerajaan bersetuju memansuhkan hukuman mati mandatori, dan memberi hukuman gantian mengikut budi bicara mahkamah.
Beliau berkata keputusan itu dicapai selepas pembentangan laporan hukuman gantian terhadap hukuman mati mandatori dalam mesyuarat Kabinet pada 8 Jun.
Kerajaan juga secara prinsipnya menerima syor dikemukakan jawatankuasa khas hukuman gantian terhadap hukuman mati mandatori.
Wan Junaidi berkata kementeriannya akan mengkaji hukuman gantian yang boleh dijatuhkan, terhadap kesalahan hukuman mati.
“Kita perlu kaji beberapa perkara. Permohonan saya kepada kerajaan ialah beri kementerian saya dan Pejabat Peguam Negara mengkaji dan melaksanakan perincian dasar kerajaan.
“Kita kemudian akan menghantar memorandum untuk kelulusan kerajaan bagi hukuman gantian semua kesalahan berkenaan, bukan hanya hukuman mati,” katanya.
Katanya, semua pihak berkepentingan, kumpulan persatuan sivil dan peguam akan diminta memberi pandangan berkenaan dasar baharu untuk meringankan hukuman itu.
“Kajian dalaman akan dilakukan terlebih dulu. Malah, ramai sukarelawan, ahli politik dan peguam berpengalaman sedia untuk menghantar sokongan dan membantu dalam kerja saya ini. Saya sangat berterima kasih,” katanya. – 11 Jun, 2022.
Berita penuh di sini.
Komen