GENGSTER di Haiti semalam menculik 38 penumpang bas mini yang dalam perjalanan dari Port-au-Prince menuju selatan negara itu, kata persatuan pemandu bas.
“Dua bas dipenuhi penumpang menuju Miragoane iaitu kira-kira 100km di barat Port-au-Prince ketika beberapa lelaki dari Village de Dieu merampas bas ini,” kata Presiden Persatuan Pemilik dan Pemandu Bas Haiti Mehu Changeux.
Katanya, setiap bas membawa 18 penumpang dan setakat ini tidak memaklumkan berkenaan tuntutan wang tebusan.
Haiti dicengkam kumpulan gengster bersenjata, dan polis juga gagal mengawalnya.
Sejak 1 Jun, 2021 pihak berkuasa Haiti hilang kawalan terhadap satu-satunya jalan menghubungkan Port-au-Prince ke sebahagian besar kawasan selatan negara itu, dengan satu persimpangan sepanjang 2km dikawal sepenuhnya geng bersenjata.
Semua 38 mangsa diculik di jalan berkenaan, iaitu laluan keluar dari ibu kota Haiti.
Changeux berkata persatuan menggesa pemandu supaya tidak menggunakan jalan itu hingga keselamatan negara dipulihkan.
Tetapi, masyarakat miskin di negara itu tidak dapat menanggung kos tinggi perjalanan, dan itu adalah satu-satunya laluan yang ada.
“Bas terpaksa mengambil risiko menggunakan jalan itu kerana kebanyakan penumpang tidak mampu membayar pengangkutan menggunakan jalan kawasan pergunungan,” katanya. – AFP, 11 Jun, 2022.
Komen