JUSTIN Bieber memberitahu peminatnya menerusi rakaman video di Instagram, beliau disahkan menghidap Sindrom Ramsay Hunt, yang menyebabkan sebahagian mukanya lumpuh.
Penyanyi terkenal berusia 28 tahun itu baru-baru ini mengumumkan akan menangguhkan konsert Justice World Tour kerana mengalami masalah kesihatan, beberapa jam sebelum konsert pertamanya bermula di Toronto.
Ramsay Hunt Syndrome ialah komplikasi yang berlaku menjejaskan saraf muka berhampiran sebelah telinga. Tambahan kepada lumpuh di bahagian muka ialah, ia boleh menyebabkan hilang pendengaran.
“Seperti yang anda boleh nampak, mata sebelah sini tidak berkelip, saya tidak boleh senyum di sebelah muka ini, hidung juga tidak bergerak,” katanya menerusi video itu.
“Jadi, keseluruhan sebelah muka saya lumpuh. Jadi kepada mereka yang kecewa dengan pembatalan persembahan saya, secara fizikalnya saya tidak mampu melakukannya. Keadaan saya sangat serius.”
Penyanyi lagu “Peaches” itu berkata beliau melakukan senaman muka dan perlu berehat sebelum kembali sihat sepenuhnya.
Beliau tidak memberikan tempoh waktu untuk pulih.
Ini kali ketiga konsert jelajah Bieber ditangguhkan, dua kali sebelum ini akibat pandemik Covid-19. – AFP, 11 Jun, 2022.
Komen